Nor Azura Abdul Jalil


AHLI Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad sah bercerai talak satu dengan isterinya Dr Imaan Abdul Rahim di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, selepas 14 tahun hidup bersama.

Nik Nazmi, 37, melafazkan cerai terhadap Imaan, 36, di hadapan Hakim Syarie Zaim Md Yudin pada prosiding kes itu di dalam kamar.

Peguam syarie, Normawaddah Ramli mewakili Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan itu, manakala Imaan diwakili peguam syarie Fahda Nur.

Permohonan cerai itu difailkan Nik Nazmi selaku plaintif pada 30 Mei lalu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Zaim kemudian merekodkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan Imaan selaku defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan sijil nikah dibatalkan.

Mahkamah juga merekodkan persetujuan bagi nafkah anak, hak penjagaan, harta sepencarian, mutaah, edah dan hibah.

Pasangan itu bernikah pada 7 Ogos 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Nik Ilhan, lapan tahun.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada media, Nik Nazmi berkata dia dan Imaan sudah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan mereka dan memohon diberikan privasi.

“Kami sudah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan kami. Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan dari keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami.

“Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami.

“Kami fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak kami dan kami komited untuk membesarkannya bersama-sama.

“Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 11:27 AM
NIK Nazmi ketika hadir di mahkamah. FOTO Rohanis Shukri
NIK Nazmi ketika hadir di mahkamah. FOTO Rohanis Shukri