PEGAWAI Pemasaran,  Mohamad Zahid Mohamad Hasri (kanan) memberikan penerangan kepada pengunjung ekspo berkenaan kemudahan komunikasi digital yang ditawarkan PR1MA.
PEGAWAI Pemasaran, Mohamad Zahid Mohamad Hasri (kanan) memberikan penerangan kepada pengunjung ekspo berkenaan kemudahan komunikasi digital yang ditawarkan PR1MA.
Siti Nur Mas Erah Amran dan Awaina Arbee

Kuala Lumpur: Projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1Ma) yang dilengkapi kemudahan jalur lebar memacu perkhidmatan digital, sekali gus menyokong aspirasi ekonomi digital kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, projek PR1MA yang dilaksanakan di kawasan perkampungan bandar, sub bandar dan bandar baru negeri berpotensi meningkatkan kesalinghubungan digital di seluruh negara, malah menyumbang kepada penciptaan komuniti yang mapan serta harmoni.

“Projek PR1MA pemangkin utama dalam usaha membandarkan segenap kawasan di seluruh negara menerusi akses Internet jalur lebar berkelajuan tinggi menggunakan teknologi Fibre-to-the-Home (FTTH) di setiap kediaman sejajar perubahan gaya hidup digital masa kini.

“Infrastruktur digital yang baik bukan saja membantu meningkatkan kualiti kehidupan, malah boleh dijadikan platform meningkatkan pendapatan menerusi e-dagang.

“Kami mantapkan kedudukan dan sediakan perkhidmatan diingini pengguna berdasarkan perspektif masa hadapan,” katanya sempena Ekspo Jualan Perumahan Edisi Nasional anjuran PR1MA di Dewan Tun Razak 1, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ekspo berkenaan yang bermula Sabtu lalu hingga esok ini berfungsi sebagai pusat sehenti terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan berpendapatan sederhana (M40) untuk memiliki rumah.

Sementara itu, bakal pemilik kediaman PR1MA juga berpeluang memiliki televisyen pintar menerusi tawaran istimewa dengan bayaran ansuran bulanan serendah RM59 dan langganan percuma perkhidmatan Internet jalur lebar selama sebulan sepanjang ekspo terbabit berlangsung.

Lebih menarik, pengecualian bayaran bulanan pertama televisyen pintar juga dijangka bakal menarik minat bakal pemilik rumah untuk mendapatkan pakej ditawarkan.

Abdul Mutalib berkata, PR1MA menerusi anak syarikat, PR1MA Communications Sdn Bhd (PR1MA Comm) yang ditubuhkan di bawah Akta PR1MA 2012 bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan telekomunikasi dalam semua perkembangan PR1MA termasuk Rumah PR1MA dan pembangunan kediaman serta komersial dilaksanakan di seluruh negara.

“Semua pembangunan PR1MA dibina dengan infrastruktur akses Internet jalur lebar berkelajuan tinggi meliputi unit rumah kediaman berbilang dan tunggal, blok komersial, kemudahan dan lain-lain kawasan komersial serta perkhidmatan yang berkaitan.

“PR1MA Comm menjadi pembekal telekomunikasi berlesen perkhidmatan rangkaian, kemudahan rangkaian, perkhidmatan aplikasi kandungan dan lesen ASP dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 5:49 AM