LAU (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengurus Besar Kanan IOI Properties, Lim Beng Yeang.
LAU (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengurus Besar Kanan IOI Properties, Lim Beng Yeang.

Kuala Lumpur: REDtone Marketing Sdn Bhd menandatangani perjanjian dengan pemaju hartanah Trilink Pyramid Sdn Bhd untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi bagi penduduk Pangsapuri Perkhidmatan Platino di Iskandar Malaysia, Johor Bahru.

Januari lalu, kumpulan terbabit menawarkan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi sehingga 200Mbps untuk projek perindustrian yang juga terletak di Iskandar Malaysia.

Syarikat berkenaan dalam kenyataannya berkata, Johor semakin menjadi pasaran penting untuk REDtone dan kerjasama dengan Trilink Pyramid akan mempertingkatkan lagi kedudukan syarikat di negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Lau Bik Soon berkata, kolaborasi itu memberi peluang kepada organisasinya untuk membangunkan satu antara empat teras perniagaannya iaitu segmen perkhidmatan telekomunikasi yang meliputi perkhidmatan jalur lebar dan data.

“REDtone akan menyediakan pakej jalur lebar eksklusif untuk dua tahun yang direka khas bagi semua 711 unit pangsapuri yang dijadualkan siap pada akhir tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sejak menubuhkan cawangan di selatan tanah air, syarikatnya yakin terdapat lebih peluang untuk bekerjasama dengan pemaju hartanah di seluruh negara.

Kerjasama yang terjalin memberi manfaat kepada penduduk Platino serta mampu menikmati kemudahan serta meneroka kekayaan maklumat di Internet dengan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Unit baru untuk Bumiputera kini boleh didapati pada harga bermula daripada RM308,465.00 lengkap dengan kabinet dan peralatan dapur, almari dan unit penghawa dingin serta kemudahan yang disediakan termasuk kolam renang, jakuzi, sauna, gimnasium dan laluan refleksologi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2015 @ 5:14 AM