SULAIMAN  (tengah) pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Melaka, semalam. Turut hadir, Mahdzir (kiri).
SULAIMAN (tengah) pada Majlis Perasmian Rangkaian Infrastruktur Gentian Optik Jalur Lebar Allo Technology Peringkat Negeri Melaka, semalam. Turut hadir, Mahdzir (kiri).

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, Allo Technology Sdn Bhd (Allo) berjaya melengkapkan pembinaan infrastruktur gentian optik yang mampu menghubungkan lebih 17,000 kediaman di Melaka bagi menyokong Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Dengan tersedianya infrastruktur gentian optik ini, Allo sebagai penyedia akses terbuka berjaya meluaskan potensi capaian internet jalur lebar berkelajuan (HSBB) sehingga 1Gbps di Melaka yang kini disediakan pembekal perkhidmatan runcit (RSP) Maxis, Astro, Digi dan Celcom.

Terbaharu, kawasan yang mendapat faedah infrastruktur itu ialah Alor Gajah (8,500 kediaman), Malim Jaya (4,400), Ayer Keroh (500) dan sekitar Jasin (2,500).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kejayaan ini susulan projek rintis HSBB yang siap dalam tempoh kurang dari tiga bulan bermula Januari 2019 yang menghubungkan 1,100 kediaman di Taman Maju, Taman Merbau Perdana dan Felda Kemendor.

"Penyediaan infrastuktur HSBB ini secara tidak langsung menggambarkan sokongan TNB dalam merapatkan jurang digital di kawasan bandar dan luar bandar di negara ini.

"Justeru melalui Allo, TNB menawarkan perkhidmatan segmen ini dalam bentuk yang lebih pantas, lagi diyakini," katanya dalam kenyataan selepas Majlis Pelancaran Perasmian Rangkaian Infrastruktur Jalur Lebar Peringkat Negeri Melaka bagi menyokong Jendela yang disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr Sulaiman Md Ali di Melaka, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.

Menurutnya, kemudahan infrastruktur gentian optik ini membuka peluang kepada lebih ramai penduduk Melaka untuk mendapat akses kepada internet jalur lebar pada harga berpatutan, seterusnya capaian kepada pelbagai sumber maklumat selain pendidikan dalam talian.

"Ia juga menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemerkasaan dalam bidang ekonomi digital, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar akibat Covid-19.

"Pembabitan TNB untuk menjayakan Dasar Digital Negara adalah sesuai dengan peranan TNB selama ini sebagai Penggerak Kemajuan Negara dan kini peranan itu diperkukuhkan lagi bagi menangani cabaran Ekonomi Digital serta Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0)," katanya.

Dengan memanfaatkan rangkaian gentian optik sepanjang 18,000km yang melalui pencawang elektrik milik TNB di Semenanjung Malaysia, Allo berjaya menghubungkan 60,000 kediaman dengan rangkaian gentian optik di Melaka, Perak dan Kedah.

Kini, TNB menerusi Allo mengorak langkah bagi melebarkan sayap perkhidmatan jalur lebar di empat negeri lain iaitu Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selain meluaskan capaian di Perak dan Kedah dengan sasaran capaian 150,000 kediaman yang dijangka selesai pertengahan tahun ini.

Allo juga sedang giat menjalin kerjasama dengan pembekal perkhidmatan runcit (RSP) lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 7:01 AM