Wilfred Madius Tangau (tengah) menggunakan simbol ‘We Love You’ sempena kempen jentera UPKO di Dewan Serbaguna, Kampung Tombongon Kiulu, Tuaran. FOTO IHSAN UPKO
Wilfred Madius Tangau (tengah) menggunakan simbol ‘We Love You’ sempena kempen jentera UPKO di Dewan Serbaguna, Kampung Tombongon Kiulu, Tuaran. FOTO IHSAN UPKO
Recqueal Raimi


Tuaran: "Sebaik kita (Warisan Plus) kembali menjadi pemerintah, saya akan beri jawatan Timbalan Ketua Menteri kepada (Datuk Seri Wilfred) Madius (Tangau)... confirm saya akan kekalkan," kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie turut menyeru rakyat di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kiulu memberikan kemenangan kepada Madius yang juga Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

"Sudah tiba masanya, rakyat di Dun Kiulu menggunakan mandat masing-masing sebagai penentu corak masa depan negeri ini.

"Sekarang, kuasa ada di tangan rakyat untuk mengundi siapa yang mereka mahu, sekarang kita tunjuk apa yang rakyat Sabah mahukan," katanya ketika berucap pada Program Beramah Mesra Bersama Rakyat di Kampung Lokub, Kiulu, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Madius menunjukkan Pelan Tindakan Pembangunan Strategik untuk pembangunan di kawasan Kiulu ketika berkempen dalam program itu.

Madius berkata, ia akan menjadi garis panduan bagi pelaksanaan Pejabat Daerah Kecil Kiulu beroperasi selepas diluluskan kabinet Julai lalu.

"Ini membuktikan komitmen kerajaan Warisan Plus dalam merancang pembangunan secara menyeluruh dan pada masa sama memperjuangkan hak rakyat Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 September 2020 @ 8:21 PM