BENTUK agresif.
BENTUK agresif.
Oleh Erywan Norshal


Tanda M pada BMW M2 Coupe itu bukan lagi dianggap sebuah kenderaan premium biasa yang ada di jalan raya ketika ini.

Sudah pastinya huruf M itu memberi maksud berbeza apabila menawarkan kelincahan, dinamik dan kawalan kenderaan yang sempurna.

Ciri utamanya adalah gabungan enjin M TwinPower Turbo dengan suspensi M Sport talaan khas bagi menghasilkan kereta berprestasi tinggi generasi baharu.

Ia dilengkapi sistem pacuan roda belakang dengan pakej teknologi perlumbaan termaju yang komprehensif bagi memberi karakter luar biasa untuk kegunaan jalan raya atau litar lumba.

Dibekalkan enjin 3.0 liter enam silinder sebaris dengan teknologi M TwinPower Turbo mampu menyalurkan 370hp dan tork setinggi 465Nm. Ia dipadankan kotak gear klac berkembar M tujuh kelajuan bersama sistem ‘Drivelogic’ dan fungsi ‘Launch Control’ membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam 4.3 saat.

Biarpun dalam kategori kereta sport premium, tahap penggunaan bahan apinya cukup menjimatkan dengan 7.9 liter bagi setiap 100 kilometer.

Pengalaman pemanduannya lebih menarik apabila sistem ekzos M ditugaskan mengawal flap elektronik bagi memastikan output enjin dan bunyi seimbang.

Selain itu, BMW M2 Coupe menetapkan standard baru dalam segmen kereta sports kompak yang membolehkan pengendalian agresif dilakukan dengan selamat dan terkawal.

Malah, gandar hadapan dan belakang menampilkan rekaan aluminium ringan yang diambil daripada model BMW M3 serta M4 bagi mengurangkan beratnya.

Reka bentuknya pula diinspirasikan daripada sejarah sukan bermotor BMW. Ciri luaran khas M menyerlahkan lagi aspek dinamiknya terutama bahagian hadapan yang masih mengekalkan jeriji bentuk buah pinggang.

Jentera itu turut dilengkapi aksesori hadapan dipanggil ‘apron’ yang rendah bersama pengambilan udara besar untuk meningkatkan lagi keupayaan proses penyejukan.

Dilihat dari sisi, BMW M2 Coupe tampil bentuk klasik BMW Hofmeister melalui garis tepi. Buat masa ini, model itu hadir dengan lima unit sahaja tetapi bilangan itu bertambah pada masa akan datang.

Jentera berprestasi pacuan belakang itu didatangkan dengan hanya warna biru metalik sahaja dan dijual pada harga RM498,800 atas jalan tidak termasuk insurans.

Model itu dilancarkan oleh Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia Sdn Bhd Sashi Ambi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mac 2016 @ 6:53 AM