ANGGOTA APM menangkap tedung selar di Jalan Hornbill Sky Way, kelmarin.
ANGGOTA APM menangkap tedung selar di Jalan Hornbill Sky Way, kelmarin.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Niat seorang wanita untuk mencuci pakaian terbantut apabila menyedari seekor ular tedung selar ‘menghuni’ di bawah mesin basuhnya di sebuah rumah di Jalan Hornbill Sky Way, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, ular sepanjang tiga meter (m) itu ditemui di bawah mesin basuh yang diletakkan di belakang rumah wanita berkenaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Miri, Kapten Hazlee Shah Abd Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7 malam.

Beliau berkata, susulan itu, sepasukan anggota APM dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita dapati reptilia itu berada di bawah mesin basuh berkenaan. Haiwan itu dalam keadaan agresif.

“Ular berkenaan berjaya ditangkap dengan menggunakan peralatan khas tidak lama kemudian,” katanya kepada NSTP.

Katanya, ular berkenaan kemudian dilepaskan ke kawasan hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 4:00 AM