ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang berjaya ditangkap di dalam reban ternakan dalam kejadian di Riam, Miri. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung selar yang berjaya ditangkap di dalam reban ternakan dalam kejadian di Riam, Miri. FOTO Ihsan APM
Mohd Rizal Abdullah


MISTERI kematian dua angsa dalam reban milik penduduk di Riam, Miri, kelmarin terjawab susulan penemuan ular tedung selar di kawasan berhampiran penempatan terbabit.

Reptilia berbisa sepanjang lebih satu meter itu ditemui kira-kira 8 pagi oleh pemilik angsa berkenaan sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pegawai Operasi APM Miri, Kapten Hazlee Shah Abdul Hamid berkata, pada mulanya, lelaki berusia 37 tahun itu musykil apabila dua angsanya dalam reban di belakang rumahnya tiba-tiba mati.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian memeriksa reban dan tergamam melihat reptilia itu.

"Lelaki terbabit kemudiannya terus menghubungi talian kecemasan berikutan bimbang dengan keselamatannya," katanya.

Katanya, tiga anggota APM Miri kemudiannya dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada 8.04 pagi

"Setibanya ke lokasi menemui ular berkenaan di celahan daun kering di dalam reban itu. Ular berkenaan berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas tidak lama kemudian," katanya.

"Ular berkenaan kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah(PKOD) Miri sebelum dilepaskan semula ke hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 3:11 PM