ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung yang baru sahaja bersalin kulit yang berjaya ditangkap di dapur rumah pengadu dalam kejadian di kuarters kerajaan di Lambir, Miri. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM menunjukkan ular tedung yang baru sahaja bersalin kulit yang berjaya ditangkap di dapur rumah pengadu dalam kejadian di kuarters kerajaan di Lambir, Miri. FOTO Ihsan APM
Mohd Rizal Abdullah


WANITA terkedu selepas menemui ular tedung yang baru sahaja bersalin kulit di dapur rumahnya dalam kejadian di kuarters kerajaan di Lambir, Miri, malam kelmarin.

Dalam kejadian 10 malam itu, ular tedung bersaiz batang penyapu dengan panjang satu meter ditemui menjalar di belakang almari dapur rumah berkenaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awan Miri Kapten Hazlee Shah Abd Hamid berkata, sebelum kejadian, wanita berusia lingkungan 30-an itu mahu membuang sampah sebelum melihat reptilia itu.

Menurutnya, tiga anggotanya kemudiannya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 10.33 malam berhubung kejadian itu.

"Setibanya di lokasi menemui ular berkenaan di belakang almari dapur bersama kulitnya.

"Ular berkenaan dipercayai baru sahaja bersalin kulit di kawasan itu," katanya.

Katanya, ular berkenaan berjaya ditangkap tidak lama kemudian menggunakan peralatan khas.

"Ular berkenaan kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Miri sebelum dilepaskan semula ke hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 3:02 PM