ANGGOTA  APM  Miri menangkap semula ular kapak yang dilaporkan menyerang remaja lelaki  di Long Loyang.
ANGGOTA APM Miri menangkap semula ular kapak yang dilaporkan menyerang remaja lelaki di Long Loyang.
Mohd Rizal Abdullah

Miri: Seorang remaja lelaki membawa bersama ular kapak yang mematuk kakinya ke Hospital Miri yang mengambil masa lima jam perjalanan malam kelmarin.

Terdahulu, remaja berusia 16 tahun itu dipatuk reptilia sepanjang satu meter terbabit di kampungnya di Long Loyang, Baram.

Keluarga mangsa membawanya bersama ular terbabit yang disimpan dalam bekas khas ke hospital berkenaan.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Miri Kapten (PA) Hazlee Shah Abd Hamid berkata, keluarga itu menggunakan jalan balak untuk keluar dari perkampungan berkenaan.

“Kami terima panggilan kecemasan daripada pihak hospital yang mahu menyerahkan ular itu di wad kecemasan, jam 9.16 malam.

“Doktor bertugas memaklumkan ular itu dibawa keluarga mangsa. Kami membawa reptilia terbabit ke Pusat Kawalan Operasi Daerah Miri sebelum dilepaskan semula ke hutan yang jauh dari penempatan,” katanya.

Katanya, mangsa stabil dan perlu diberi rawatan di Hospital Miri sebelum dibenarkan pulang selepas doktor berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 3:35 AM