KAKAK dan rakan berada di sisi jenazah mangsa selepas kemalangan, tengah hari ini. FOTO ihsan pembaca
KAKAK dan rakan berada di sisi jenazah mangsa selepas kemalangan, tengah hari ini. FOTO ihsan pembaca
Amrullah Abdul Karim


WANITA maut akibat dilanggar kereta selepas tercampak dari Perodua Myvi dinaiki yang melanggar penghadang jalan dalam kemalangan di Kilometer 405.4 Lebuhraya PLUS arah Kuala Lumpur dekat Lembah Beringin, Kuala Kubu Bharu, tengah hari ini.

Kejadian 1.40 tengah hari itu turut membabitkan bas sekolah yang dalam perjalanan ke arah selatan.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Lim Bhak Pai berkata, mangsa maut dikenali sebagai Nurul Syafiqah Mohd Shaari, 23, yang duduk di bahagian penumpang belakang kereta terbabit bersama kakaknya, Nurul Syakirah, 25, dan seorang lagi wanita berusia 25 tahun sebagai pemandu.

Lim berkata, mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai, Perak menghala ke Petaling Jaya, Selangor sebelum terbabit dalam kemalangan itu.

"Kejadian berlaku semasa kereta dinaiki mangsa yang berada di lorong paling kanan mahu mengubah laluan ke kiri jalan sebelum kereta hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang sebelah kiri jalan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta dinaiki mangsa berpusing dan salah seorang daripada mereka tercampak melalui tingkap belakang sebelah kanan dan jatuh di lorong tengah.

"Mangsa kemudian dilanggar sebuah Proton Saga dipandu lelaki berusia 38 tahun yang berada di belakang kenderaan mereka ketika kejadian," katanya ketika dihubungi, petang hari ini.

Lim berkata, ketika kejadian sebuah bas sekolah turut berada di lorong kiri lebuh raya tidak sempat mengelak kereta Perodua Myvi berkenaan lalu melanggar bahagian depan kereta mangsa, namun tidak menyebabkan kecederaan kepada penumpang.

Beliau berkata, mangsa maut di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk bedah siasat.

Katanya, tiada mangsa lain cedera dalam kemalangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 9:29 PM