GRO warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan awal pagi semalam.
GRO warga Vietnam yang ditahan dalam serbuan awal pagi semalam.
Iskandar Shah Mohamed

Klang: Kegiatan haram sebuah pusat hiburan di Bandar Botanic di sini, yang dipercayai menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing sejak dua bulan lalu terbongkar apabila diserbu polis awal pagi semalam.

Difahamkan sebagai langkah keselamatan premis tanpa lesen itu dikawal ketat dengan melakukan dua kali pemeriksaan atau ‘tapisan’ pintu sebelum membenarkan pelanggan masuk.

Sementara GRO dijaga dua wanita sebagai ibu ayam di premis yang tidak diletakkan papan tanda perniagaan.

Kelicikan mereka bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dihidu Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang menyerbu premis itu jam 2.15 pagi.

Dalam Ops Noda berkenaan, 27 GRO warga Vietnam dan dua ibu ayam antara 56 individu berusia 30 hingga 56 tahun yang ditahan untuk tindakan lanjut.

Pegawai Turus D7 negeri Deputi Superintendan Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menyamar sebagai pelanggan untuk memasuki premis berkenaan yang dikawal ketat.

“Ketika serbuan, kebanyakan wanita asyik melayan pelanggan masing-masing dan tidak menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Operasi berjalan lancar dan kita menahan 12 pekerja premis selain 15 pelanggan tempatan untuk menjalani saringan air kencing,” katanya.

Menurutnya, polis merampas set televisyen, alat pembesar suara, mikrofon dan wang tunai RM15,237.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah dan tiada dokumen perjalanan.

“Ia diklasifikasikan mengikut Akta 39 (b) Peraturan Imigresen 1963 iaitumenyalahgunakan pas lawatan sosial,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 7:55 AM