Junaidi Ladjana


“LAMPU siling dan lantai bergegar lalu saya bergegas keluar sebelum melihat semua penduduk keluar ke kawasan selamat," kata Mohd Azree Abd Ghani, penghuni pangsapuri Puri Warisan, Jalan Tuaran By Pass di Kota Kinabalu.

Gegaran kira-kira lapan saat itu menyebabkan lebih 1,000 penghuni di kawasan berkenaan panik dan keluar ke kawasan lapang.

Mohd Azree yang tinggal di tingkat dua berkata, sebelum kejadian dia seorang diri dalam rumah sedang berehat, manakala isteri masih bekerja.

"Tiba-tiba sahaja lampu siling bergoyang dan terasa bergegar. Pada masa sama, jeritan beberapa jiran supaya keluar kerana gempa bumi.

"Tanpa berlengah saya keluar rumah dan bergegas bersama penghuni lain ke kawasan lapang," katanya ketika ditemui, malam ini.

Katanya, semua penghuni terkejut dan ada juga yang menangis ketakutan.

Seorang lagi penduduk, Jason Latup, 33, berkata dia baru tiba di rumah bersama isteri dan dua anaknya selepas keluar membeli kelengkapan dapur dan terkejut dengan gegaran itu.

"Tiba-tiba rasa rumah bergegar. Saya terus mengarahkan isteri dan anak keluar sambil membawa barang kelengkapan dapur yang baru dibeli.

"Kira-kira lima saat kemudian keadaan kembali tenang," katanya.

Gempa bumi berukuran 5.2 skala Richter dengan kedalaman lima kilometer dilaporkan berlaku di Ranau, malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menerusi kenyataannya berkata, gegaran berpusat di lokasi 6.1 Utara 116.6 Timur, kira-kira 16 kilometer barat laut Ranau pada jam 9.06 malam tadi.

Berita berkaitan

[UPDATE] Ini gegaran baru

Gempa bumi melanda lagi...

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Mac 2018 @ 10:47 PM
ORANG ramai berkumpul di luar bangunan berikutan kejadian gempa bumi, malam ini. FOTO Ihsan Pembaca
ORANG ramai berkumpul di luar bangunan berikutan kejadian gempa bumi, malam ini. FOTO Ihsan Pembaca