Rohaniza Idris dan Hidir Reduan

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Bhd (MRT Corp) menjangkakan projek pembangunan MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) siap lebih awal dengan kos kurang daripada yang dianggarkan sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pada peringkat awal, pihaknya menjangkakan kos pembinaan laluan kedua MRT itu menjangkau RM32 bilion.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya mengambil langkah penjimatan di mana lapan Mesin Pengorek Terowong Pembolehubah Ketumpatan (TBM) yang digunakan bagi pembinaan laluan pertama MRT, Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dibaik pulih dan digunakan semula untuk pembinaan Laluan SSP.

“Apa yang menarik, lapan mesin TBM dibaik pulih di Pusing, Perak itu membabitkan kepakaran tempatan untuk kerja baik pulih mesin berkenaan.

“Malah langkah membaik pulih mesin TBM itu membantu mengurangkan kos pembelian mesin TBM baharu kira-kira 10 hingga 15 peratus,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran mesin pengorek terowong pertama daripada 12 mesin pengorek yang akan digunakan untuk pembinaan Laluan SSP di sini, semalam.

NAJIB  bersama Liow (dua dari kiri) dan Ali Hamsa (kiri) melawat tapak projek kerja pembinaan terowong laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia.
NAJIB bersama Liow (dua dari kiri) dan Ali Hamsa (kiri) melawat tapak projek kerja pembinaan terowong laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di Bandar Malaysia.

Pelancaran mesin pengorek itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pada pelancaran itu, Perdana Menteri turut melancarkan Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) yang pertama daripada 12 mesin yang sama untuk kerja pembinaan berkenaan.

Sebagai simbolik pelancaran itu, Najib menekan kunci pada panel khas yang mana serentak itu kepala pemotong VDTBM mula berputar diiringi bunyi siren.

Turut mengiringi Perdana Menteri, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri dan Pengerusi Mass Rapid TransitCorporation Sdn Bhd (MRTCorp) Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Turut sama, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam (SPAD)Tan Sri Mohd Isa Samad; Ketua Pegawai Eksekutif SPAD,Azharuddin Mat Sah; Pengarah Urusan Gamuda Berhad,Datuk Lin Yun Ling dan Pengerusi MMC Corporation,Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Najib kemudian melihat lebih dekat mesin pengorek terowong dari dek tinjauan yang terletak di pelantar syaf pelancaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:46 AM