SHAHRIL
SHAHRIL
myMetro

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) memberi kontrak pakej kerja pembinaan jejambat kedua bernilai RM1.21 bilion bagi Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) kepada Sunway Construction Sdn Bhd.

MRT Corp dalam kenyataan berkata, Sunway Construction akan membina dan menyiapkan jejambat dan kerja berkaitan bagi jajaran sepanjang 4.9 kilometer Laluan SSP dari Sungai Buloh ke Persiaran Dagang.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Sehenti yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, MRT Corp memberi Pakej Kerja V202 kepada Ahmad Zaki Sdn Bhd pada minggu lalu.

“Kedua-dua kontraktor itu akan memulakan kerja pembersihan dan seterusnya pembinaan di tapak masing-masing dalam masa terdekat ini.

“Saya yakin kami dapat mengikuti rapat jadual projek berkenaan bagi memastikan fasa pertama Laluan SSP itu mula beroperasi pada suku kedua 2021 dan seluruh laluan dalam suku kedua tahun 2022,” katanya.

Shahril juga menegaskan semua tender yang berjaya itu dinilai berdasarkan aspek teknikal serta komersial di mana tender yang berjaya itu tidak semestinya menawarkan harga terendah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 6:50 AM