IKHWAN pemilik gerai Laksa Sarawak di Kelana Jaya.
IKHWAN pemilik gerai Laksa Sarawak di Kelana Jaya.
KUAH Laksa Sarawak menggunakan perencah dari Sarawak, tetapi diolah mengikut resipi ibu Ikhwan.
KUAH Laksa Sarawak menggunakan perencah dari Sarawak, tetapi diolah mengikut resipi ibu Ikhwan.
Oleh Mohd Hafizan Mohd Rajab


Jika disoal mengenai menu pilihan sarapan, tentu saja kebanyakan rakyat Malaysia memilih roti canai, nasi lemak dan roti bakar.

Sebenarnya banyak lagi sajian tempatan untuk dijadikan pembuka selera bagi memulakan hari baru anda.

Bagaimanapun, tidak ramai tahu bahawa Laksa Sarawak hidangan sarapan cukup popular di Bumi Kenyalang itu.

Kesukaran mendapatkan menu ini menyebabkan Wan Muhammad Ikhwan Wan Shamsuddin, 23, pemilik gerai Laksa Sarawak meneruskan tradisi ini di Lembah Klang.

Gerai pemuda ini di Restoran Jamal Mohamad di Kelana Jaya dibuka pada jam 7 pagi hingga 12 tengah hari kecuali ditutup pada setiap Isnin.

Bercerita mengenai idea dia memberanikan diri menjual menu itu, Ikhwan berkata, ibunya sering menjadikan Laksa Sarawak sebagai juadah pada majlis rumah terbuka di kediaman mereka. Dari situ ramai bertanya sama ada mereka menerima tempahan.

“Daripada pertanyaan dan permintaan itu, tercetuslah idea saya membuka gerai menjual Laksa Sarawak.

“Ia sebenarnya menu sarapan pagi popular dalam kalangan masyarakat Sarawak. Saya rasa ini peluang terbaik mengetengahkan Laksa Sarawak sebagai hidangan sarapan di sini.

“Idea ini juga secara tidak langsung memberi pilihan kepada orang ramai,” katanya.

Menariknya Laksa Sarawak dijual Ikhwan, kuahnya menggunakan perencah dibawa dari negeri itu, tetapi diolah mengikut resipi ibunya, sekali gus menjadikannya sedikit berbeza daripada sajian lain.

“Kuah Laksa Sarawak diolah daripada resipi asal dengan menambah santan serta isi udang segar yang dimasak bersama.

“Sukatan santan dan perencah perlu tepat supaya kuah yang dihasilkan tidak terlalu cair atau pekat,” katanya.

Resipi ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dimasak, tetapi memerlukan kesabaran kerana cara pembuatannya sedikit rumit dan mengambil masa terutama bagi memastikan perencahnya betul-betul masak dengan baik.

Penulis berpeluang mencuba sendiri Laksa Sarawak dijual Ikhwan. Kuahnya pekat dengan rasa campuran rempah agak pedas, tetapi sedap untuk dinikmati sebagai hidangan sarapan.

Lebih menarik, Laksa Sarawak dihidang bersama dua ekor udang segar dan belacan Bintulu manakala sambal istimewa yang menjadi pelengkap rasa turut disediakan.

Menurut Ikhwan, dia boleh menjual antara 30 hingga 50 mangkuk pada hari biasa dan meningkat sehingga 100 mangkuk pada Sabtu dan Ahad.

“Pada hari biasa saya mengendalikan sendiri gerai ini kecuali hujung minggu dibantu rakan kerana tak menang tangan dibuatnya,” katanya.

Mengenai penambahan menu di gerainya, Ikhwan berkata, setakat ini dia mahu fokus terhadap Laksa Sarawak dan ingin dikenali dengan hidangan itu sebagai alasan utama pelanggan datang ke gerainya.

“Pada masa depan saya mahu mengembangkan perniagaan ini dengan cara berbeza dan tidak mahu terikat dengan idea berniaga di gerai sahaja.

“Jadi, saya mungkin menjual Laksa Sarawak menggunakan trak makanan supaya lebih ramai penduduk Lembah Klang dapat mencuba Laksa Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 10:54 AM