JAMIL Khir (kanan) berbual bersama Razali dan Esah pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
JAMIL Khir (kanan) berbual bersama Razali dan Esah pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


BIARPUN hidup serba kekurangan berikutan pendapatan sebagai buruh tidak seberapa, namun dia dan isteri tidak pernah menganggapnya sebagai halangan untuk memberikan pendidikan terbaik kepada 13 anaknya.

Malah, ketika usia muda dan masih sihat, Razali Awang, 72, dan isteri Esah Abdullah, 70, turut melakukan pelbagai kerja bagi menambah pendapatan untuk membiayai persekolahan anak mereka dengan menjual kuih bakar, nasi lemak dan makanan ringan secara kecil-kecilan.

Kini, berkat jerih-perih dan kesabaran suami isteri itu berdepan kepayahan hidup dibalas Allah SWT apabila semua anak mereka berjaya dalam pelajaran hingga ke peringkat tinggi termasuk ada yang menamatkan pengajian di Amerika Syarikat, Ireland, Belgium dan Jerman dalam jurusan kejuruteraan dan perubatan.

Lebih menggembirakan, pengorbanan pasangan suami isteri terbabit terbalas apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), sekali gus menerima hadiah wang tunai RM50,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Berkongsi resipi mendidik anak, Razali berasal dari Kuala Terengganu berkata, sejak dahulu, dia sememangnya seorang yang tegas dalam mendidik, malah sentiasa mengambil berat soal pendidikan serta menerapkan nilai keagamaan di rumah.

"Dalam mendidik, saya sendiri menyediakan jadual harian, misalnya waktu untuk mengulang kaji pelajaran, solat, makan, mengaji al-Quran dan sebagainya.

"Semua anak saya mesti mematuhi jadual harian masing-masing dan jika mereka tidak melakukannya, saya akan suruh dan menasihatkan supaya melaksanakannya segera," katanya ketika ditemui pada Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran YADIM di Putrajaya, hari ini.

Hadiah disampaikan kepada penerima oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha dan Yang Dipertua YADIM Dr Yusri Mohamad.

Razali berkata, biarpun dia dan isteri tidak belajar tinggi, namun mereka sangat menitikberatkan pelajaran setiap anak mereka.

"Daripada segi pendidikan agama seperti pengajian al-Quran, solat serta fardu ain yang lain, Alhamdulillah saya boleh mendidik mereka, namun dalam masa sama, saya juga mahu mereka berjaya dalam pelajaran masing-masing.

"Sebab itu, saya sangat tegas dengan anak-anak kerana ketegasan ini sudah menjadi pegangan hidup saya," katanya.

Pada majlis berkenaan, Jamil Khir turut menyampaikan Anugerah Bapa Mithali kepada Yusuf Mohd Karim, 72, dari Muar, Johor yang membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Untuk Anugerah Ibu Mithali, penerima ialah Hitam Abu, 83, dari Melaka yang menerima hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Manakala, penerima Anugerah Pewaris Harapan pula ialah Nurul Eeman Mansor, 20, yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan undang-undang sekali gus menerima hadiah wang tunai RM30,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 11:54 PM