MOHAMAD Shakir Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
MOHAMAD Shakir Abdul Hamid. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid menerima anugerah Tokoh Maulidur Rasul peringkat negeri Pulau Pinang tahun ini.

Anugerah itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak pada majlis yang diadakan melalui aplikasi Zoom, malam tadi.

Dalam majlis berkenaan, Mohamad Shakir, 55, membawa pulang trofi, wang tunai RM5,000, sijil dan hadiah iringan.

Sebelum itu, acara yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIAPP) itu dimulai dengan bacaan doa dan surah Yasin diketuai Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Terdahulu, Ahmad Fuzi dalam ucapannya menggesa umat Islam di Pulau Pinang menghayati moto sambutan Maulidur Rasul iaitu 'Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti' walaupun diraikan secara maya tanpa perarakan.

Menurut Ahmad Fuzi, penerapan 'manhaj rabbani' dalam memangkin ummah berkualiti itu merujuk kepada tiga elemen utama keilmuan, kerohanian dan aktivitisme atau gerakan dakwah berteraskan 'amar makruf nahi mungkar.'

Pada masa sama, beliau turut menyeru umat Islam supaya meneladani akhlak yang ditunjukkan oleh junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dalam melaksanakan aktivisme.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 12:58 PM