JAMIL Khir (dua kanan) dan Dr Yusri (kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Keluarga Mithali 2017 pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
JAMIL Khir (dua kanan) dan Dr Yusri (kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Keluarga Mithali 2017 pada majlis Anugerah Keluarga Mithali 2017 di Putrajaya, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A'isyah Sukaimi


Gambar Mohd Fadli Hamzah

PERANAN ibu bapa dalam membentuk keluarga sangat penting kerana pembentukan yang baik akan melahirkan generasi muda cemerlang dalam pelbagai aspek terutama akhlak dan sahsiah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembinaan institusi keluarga sentiasa mendapat tempat utama dalam Islam, malah dalam Maqasid Syariah, satu daripada prinsip yang ditekankan ialah menjaga nasab keturunan berkait rapat dengan pembinaan institusi keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, secara asasnya dalam pembinaan masyarakat, Islam menekankan peranan semua pihak sama ada suami, isteri, pemimpin dan lain-lain.

"Kerangka ajaran Islam begitu mementingkan kehalalan perkahwinan menunjukkan institusi kekeluargaan sangat penting dan perlu diberi penekanan sejak awal perkahwinan.

"Justeru, Islam amat menentang idea Barat yang semakin rancak dipromosikan seperti perkahwinan sesama jenis yang sangat bertentangan dengan fitrah manusia," katanya berucap pada Anugerah Keluarga Mithali 2017 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Putrajaya, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha dan Yang Dipertua YADIM Dr Yusri Mohamad.

Ahmad Zahid berkata, kepentingan amalan agama yang utuh dalam pembinaan institusi keluarga tidak hanya ada dalam agama Islam saja.

"Malah, agama lain juga menitik beratkan aspek sama dan ini amat jelas dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2016 apabila responden yang terdiri daripada pelbagai agama, bersetuju mengenai peranan agama dalam kesejahteraan hidup.

"Justeru, YADIM perlu melipat ganda usaha mempromosi cara hidup berkeluarga berasaskan agama sekali gus dapat menangkis sebarang idea songsang bertujuan memporak-perandakan manusia," katanya.

Pada majlis berkenaan, Jamil Khir yang mewakili Ahmad Zahid menyampaikan empat anugerah kepada pemenang iaitu Anugerah Keluarga Mithali, Anugerah Bapa Mithali, Anugerah Ibu Mithali dan Anugerah Pewaris Harapan.

Pasangan suami isteri, Razali Awang, 72, dan Esah Abdullah, 70, mempunyai 13 anak dari Kuala Terengganu diumumkan sebagai penerima Anugerah Keluarga Mithali sekali gus menerima wang tunai RM50,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Manakala, penerima Anugerah Bapa Mithali Yusuf Mohd Karim, 72, dari Muar, Johor membawa pulang hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Untuk Anugerah Ibu Mithali, penerima ialah Hitam Abu, 83, dari Melaka dan menerima hadiah wang tunai RM40,000, trofi, sijil beserta hadiah iringan.

Penerima Anugerah Pewaris Harapan pula ialah Nurul Eeman Mansor, 20, yang juga penuntut jurusan undang-undang Universiti Teknologi MARA (UiTM) sekali gus menerima hadiah wang tunai RM30,000, trofi, sijil berserta hadiah iringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 10:59 PM