Mohd Husni Mohd Noor


POLIS belum menemui apa-apa petunjuk baru mengenai kehilangan kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Azmee Elias, 36, yang hilang sejak 12 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan ketika dihubungi hari ini berkata, tiada perkembangan baru mengenai kes kehilangan mangsa dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

"Selain penemuan kereta mangsa yang ditinggalkan di Jalan Jenderam, Dengkil pada 17 Februari lalu, tiada bukti baru ditemui setakat ini," katanya.

Sebelum ini, polis berjaya menemui Perodua Alza milik mangsa yang ditinggalkan dalam keadaan berkunci di Jalan Jenderam sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Putrajaya.

Selain itu, usaha pencarian mangsa turut diperluaskan sekitar 100 kilometer (km).

Mangsa kali terakhir dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Sri Hartamas 1, Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 12 Februari lalu dengan berpakaian pejabat, baju berwarna gelap dan berseluar kelabu, selain berkaca mata.

Berita berkaitan

Polis perluas kawasan carian

Misteri Azmee ‘Ghaib’

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 1:49 PM