Mohamed Farid Noh


AZMEE Elias yang dilaporkan hilang hampir dua minggu, ditemui dengan keadaan kakinya melecet dan kotor, selain baju serta seluar, dalam keadaan lusuh dengan kesan tanah.

Azmee, 36, yang ditemui tidak sedarkan diri di hadapan rumah lama neneknya di Kampung Bintang, Peserai, dekat sini, menggemparkan penduduk kampung berkenaan, apatah lagi rumah neneknya itu sudah lebih 10 tahun tidak dihuni selepas warga emas itu meninggal dunia lima tahun lalu.

Penduduk kampung yang enggan dikenali mendakwa, kelibat seorang lelaki yang disangka gelandangan dilihat terbaring di rumah pusaka itu kira-kira 3 petang semalam.

Katanya, bimbang dengan kehadiran lelaki itu membuatkannya memaklumkan waris rumah pusaka berkenaan yang tinggal kira-kira 50 meter dari rumah pusaka berkenaan.

"Kami terkejut apabila waris rumah pusaka berkenaan menyatakan lelaki yang terlentang tidak sedarkan diri di hadapan rumah pusaka itu adalah anak saudaranya yang sudah hampir dua minggu hilang di Kuala Lumpur.

"Keadaan Azmee ketika itu terlentang tidak sedarkan diri malah cubaan bapa dan ibu saudaranya memanggil namanya beberapa kali juga tidak berjawab sebelum dia diazankan.

"Apabila dilihat lebih dekat, walaupun memakai selipar, kaki Azmee melecet dan kotor, baju serta seluar dipakainya turut dalam keadaan lusuh serta kotor bertanah. Melihat keadaannya yang amat lemah menyebabkan keluarganya segera menghantarnya ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI)," katanya ketika ditemui di Kampung Bintang, hari ini.

Azmee, 36, yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Mahkamah Syariah Jalan Duta Kuala Lumpur, dilaporkan hilang sejak 12 Februari lalu, ditemui dalam keadaan terlentang tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai. Batu Pahat, 4 petang semalam.

Dia ditemui oleh bapa saudaranya, kira-kira 236 kilometer (km) dari lokasi terakhir beliau dilihat di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada 12 Februari lalu dengan memakai baju berwarna gelap dan berseluar kelabu, selain berkaca mata.

Difahamkan Azmee dibesarkan Allahyarham neneknya dari bayi sehingga memasuki universiti awam dan lokasinya ditemui adalah rumah tempatnya membesar dahulu.

Azmee yang kini masih dirawat di HSNI dilaporkan berada dalam keadaan stabil termasuk sudah boleh menjamah makanan.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang juga enggan dikenali memaklumkan, mereka juga bingung bagaimana Azmee boleh berada di rumah berkenaan selepas dilaporkan hilang di ibu negara.

"Kami terkejut sebaik dimaklumkan dia ditemui di Kampung Bintang di Batu Pahat kerana tidak menyangka atau terlintas langsung di fikiran dia akan muncul di sini.

"Namun kami bersyukur dan mengharapkan dia kembali sihat seperti sedia kala dan biarlah pihak berkuasa menyiasat kes ini terlebih dahulu," katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Belum jumpa petunjuk baru

Polis perluas kawasan carian

Misteri Azmee `Ghaib'

Azmee sudah dijumpai...

Misteri sungguh kehilangan Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 5:39 PM
RUMAH kosong yang dipercayai tempat Azmee Elias ditemui oleh penduduk di Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat, Johor. FOTO Essa Abu Yamin
RUMAH kosong yang dipercayai tempat Azmee Elias ditemui oleh penduduk di Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat, Johor. FOTO Essa Abu Yamin