RUMAH kosong yang dipercayai menjadi tempat Azmee Elias di temui oleh penduduk di Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat, Johor. Gambar kecil, Azmee Elias. FOTO Essa Abu Yamin
RUMAH kosong yang dipercayai menjadi tempat Azmee Elias di temui oleh penduduk di Kampung Bintang, Peserai, Batu Pahat, Johor. Gambar kecil, Azmee Elias. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamad Fahd Rahmat


“SAYA dan keluarga tidak mahu suami saya ditemuramah. Fokus kami sekarang adalah untuk proses pemulihan suami saya," kata Natasha Abd Rahim, 30, isteri Azmee Elias, 36.

Azmee yang juga kakitangan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur ditemui dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri di hadapan rumah neneknya di Kampung Bintang, Peserai, di sini 4 petang kelmarin.

Melalui mesej daripada WhatsApp itu, Natasha menegaskan tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan polis selain berharap perkara berkenaan tidak berpanjangan.

"Atas nasihat pihak polis yang menyiasat kes suami saya, saya dinasihatkan untuk tidak keluarkan apa-apa kenyataan untuk mengelakkan kenyataan saya mengganggu siasatan.

"Suami saya masih dalam proses pemulihan dan sedang menjalani rawatan. Saya faham pihak akhbar cuba mendapatkan cerita lanjut mengenai kehilangan suami saya tetapi kami juga mohon pihak akhbar faham situasi dan keadaan suami saya.

"Saya harap perkara ini tidak berpanjangan kerana saya sudah jelaskan apa yang sewajarnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Natasha berkata, menghargai keprihatinan wartawan yang membuat hebahan namun, menegaskan kisah berkenaan tular di media sosial kerana keprihatinan sahabat dan kaum keluarganya mengenai kehilangan suaminya itu.

"Setahu saya dan keluarga, kami tiada meminta mana-mana akhbar untuk membuat liputan mengenai perkara ini. Kes ini tular di Facebook (FB) atas keprihatinan sahabat dan saudara mara yang berkongsi maklumat mengenai perihal kehilangan suami saya.

"Dari pihak kami sendiri tiada permohonan atau cadangan untuk dibuat hebahan di surat khabar atau mana-mana surat khabar atas talian" katanya yang memahami tanggungjawab wartawan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai orang hilang dan tiada siasatan lanjut dijalankan.

Terdahulu, sepupu Azmee dikenali sebagai Ab Razak Mohd, 47, bersyukur kerana berkat bacaan Yaasin dan solat hajat selepas solat Jumaat lalu, akhirnya Azmee ditemui selamat.

Berita berkaitan

[UPDATE] Belum jumpa petunjuk baru

Polis perluas kawasan carian

Misteri Azmee `Ghaib'

Azmee sudah dijumpai...

'Azmee seperti dalam dunianya sendiri'

Azmee 'pulang' ke rumah tempat dia membesar?

Azmee 'pulang' ke rumah tempat dia membesar?

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:15 PM