AMBULANS milik pusat perubatan swasta yang dilarikan suspek (gambar kecil) ditemui semula di Wisma Saberkas, Kuching, petang tadi. FOTO Ihsan PDRM
AMBULANS milik pusat perubatan swasta yang dilarikan suspek (gambar kecil) ditemui semula di Wisma Saberkas, Kuching, petang tadi. FOTO Ihsan PDRM
Muhd Amirul Faiz Ahmad


LELAKI dipercayai pesakit mental sempat bersiar-siar selama satu jam di sekitar Bandaraya Kuching menaiki ambulans yang dilarikannya sebelum ditahan berhampiran Wisma Saberkas, petang hari ini.

Dalam kejadian pada 12.50 tengah hari, lelaki, 36, itu menyusup masuk ke dalam ambulans milik pusat perubatan swasta tanpa disedari ketika petugas menurunkan pesakit di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Abang Junaidi Abang Annuar ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki terbabit dan penemuan semula ambulans berkenaan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran sebuah pusat beli belah terkemuka di bandar raya ini.

"Dalam kejadian itu, suspek bertindak melarikan ambulans milik sebuah pusat perubatan swasta ketika petugas menurunkan pesakit yang mahu mendapatkan rawatan di HUS.

"Bagaimanapun, selepas sejam diburu, pegawai dan anggota polis berjaya mengesan kedudukan ambulans berkenaan yang ditinggalkan di Jalan Green berhampiran Wisma Saberkas," katanya.

Katanya, suspek bertindak keluar dari ambulans berkenaan sebelum melarikan diri ke dalam pusat beli-belah berkenaan.

"Suspek cuba meloloskan diri tetapi gagal apabila berjaya ditahan di perkarangan HUS.

“Kita syaki suspek berlari untuk pulang semula ke HUS dari pusat beli-belah itu selepas panik melihat kehadiran pegawai dan anggota polis," katanya.

Katanya, suspek yang dipercayai mengalami masalah mental dimasukkan ke HUS sejak semalam untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk kehadiran suspek yang tidak disedari petugas sehingga menyusup masuk ke dalam ambulans sebelum melarikannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Februari 2018 @ 4:16 PM