ANTARA penumpang yang terkandas hampir enam jam di Gunung Machinchang, semalam. FOTO Shahrizal Md Noor
ANTARA penumpang yang terkandas hampir enam jam di Gunung Machinchang, semalam. FOTO Shahrizal Md Noor
Suzalina Halid dan Hamzah Osman


KEJADIAN perkhidmatan kereta kabel SkyCab terkandas di Gunung Machinchang, Langkawi, semalam, berpunca daripada kerosakan ‘roller’ yang menggerakkan gondola terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata, kejadian berkenaan sudah dimaklumkan kepada syarikat dari Austria yang membangunkan perkhidmatan SkyCab, Doppermayr.

“Difahamkan, mereka akan datang dalam tempoh terdekat untuk meninjau dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak kejadian berulang," katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Dalam kejadian 5.40 petang semalam, operasi perkhidmatan SkyCab sejauh 2.2 kilometer dengan puncak tertinggi 708 meter dari aras laut, tergendala selepas satu gelangsar (ball bearing) berhampiran stesen pertama mengalami kerosakan.

Semua penumpang dan kakitangan perkhidmatan SkyCab yang terkandas berjaya diselamatkan dan dibawa turun ke stesen kaki gunung, 11 malam tadi.

Sementara itu, Azizan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Panorama Langkawi berkata, bayaran tiket sudah dipulangkan kepada penumpang yang membuat tuntutan, selain menguruskan penginapan dan pengangkutan pulang dengan bantuan agensi pelancongan.

Katanya, Panorama Langkawi turut membantu mendapatkan tiket penerbangan baharu kepada mereka yang terlepas penerbangan akibat insiden berkenaan.

Sementara itu, tekanan perasaan dan cemas selama kira-kira lapan jam terkandas di stesen pertama SkyCab, tidak mungkin dapat dilupakan seorang pengunjung.

Yong Sook Fun, 26, dari Kuala Lumpur yang bercuti di Langkawi sempena Tahun Baharu Cina, terkandas di stesen pertama bersama kira-kira 10 rakannya termasuk seorang bayi tujuh bulan.

Beliau mengakui tertekan berada dalam situasi itu, terutama mendengar tangisan bayi anak rakannya yang kelaparan.

“Kami menaiki kereta kabel SkyCab pada hari kedua di Langkawi dan terkandas di stesen pertama bermula 5 petang hingga ke malam.

"Semua perasaan bercampur-baur. Takut, letih dan bimbang tidak dapat keluar dari situ.

“Kami juga kesejukan tetapi terpaksa bertahan dan berdoa semoga semuanya berakhir segera,” katanya ketika dihubungi di Alor Setar, hari ini.

Berita berkaitan:

Syukur semua selamat [METROTV]

Terpaksa minum air paip, cuaca sejuk [METROTV]

300 terperangkap dalam gondola, 700 terkandas

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 8:30 PM