ORANG ramai beratur untuk menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Mat Chinchang, Langkawi, yang beroperasi semula, hari ini. FOTO Shahrizal Md Noor
ORANG ramai beratur untuk menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Mat Chinchang, Langkawi, yang beroperasi semula, hari ini. FOTO Shahrizal Md Noor
Embun Majid


OPERASI kereta kabel SkyCab di Gunung Mat Chincang, Langkawi yang mengalami masalah teknikal, semalam disambung semula, hari ini.

Difahamkan, kerja baik pulih sistem pada kereta kabel itu siap sepenuhnya, malam tadi.

Berikutan itu, Panorama Langkawi Sdn Bhd sudah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas sistem kereta kabel terbabit pagi ini sebelum menyambung semula operasinya mulai 12 tengah hari.

Pengarahnya Datuk Azizan Noordin berkata, kereta kabel berkenaan berdepan kerosakan pada alatan yang menggerakkan gondola.

Katanya, sejak dibuka kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri Langkawi SkyCab untuk naik ke atas puncak Gunung Mat Chinchang.

“Setakat ini operasi berjalan lancar dan jumlah tiket yang dijual juga tinggi hingga mencecah 3,000 tiket.

“Kita amat berterima kasih dengan kerjasama baik dari pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak polis yang bertungkus lumus dalam kerja menyelamat malam tadi,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, portal Harian Metro melaporkan sejumlah 88 pelancong terkandas dalam 16 gondola berjaya diturunkan pada 9.50 malam selepas Langkawi SkyCab berjaya menurunkan kesemua gondola secara manual.

Manakala, kira-kira 900 orang yang terkandas di stesen tengah dan puncak Gunung Mat Chinchang diturunkan sebelum tengah malam tadi.

Berita berkaitan

[UPDATE] Langkawi: 300 terperangkap dalam gondola, 700 terkandas

[UPDATE] Insiden Langkawi: Semua sudah selamat

Insiden Langkawi: Terpaksa minum air paip, cuaca sejuk [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 3:19 PM