HM Digital

Bagan Datuk: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap kerajaan Indonesia tidak memberhentikan penghantaran pembantu rumah ke negara ini hanya disebabkan kes terpencil yang berlaku di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Katanya, untuk itu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia Muhammad Hanif Dhakiri bagi berunding semula berhubung soal keselamatan pekerja dan pembantu rumah warga Indonesia di negara ini.

“Saya terkilan dengan (laporan berita) jika benar pihak Indonesia mengikut media Indonesia akan memberhentikan penghantaran pembantu rumah ke negara kita disebabkan kes terpencil yang berlaku membabitkan penderaan pembantu rumah. Kita mempunyai SOP (prosedur operasi standard) yang perlu dipatuhi majikan.

Ahmad Zahid  menyampaikan angpau kepada Cheah Siok Liang, 77, ketika berkunjung di kediaman Beh Song Wan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang.
Ahmad Zahid menyampaikan angpau kepada Cheah Siok Liang, 77, ketika berkunjung di kediaman Beh Song Wan sempena sambutan Tahun Baru Cina di Taman Desa Bersatu, Hutan Melintang.

“Malaysia tidak melindungi majikan yang melakukan kezaliman dan kita mempunyai perjanjian antara majikan dan pekerja yang perlu ditandatangani supaya peraturan dan garis panduan dipatuhi,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Dataran Bagan Datuk, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan portal berita tempatan semalam yang memetik laporan portal berita Indonesia, Sindo News mengenai cadangan Jakarta untuk membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia susulan kematian Adelina Lisao, 26, yang didera di rumah majikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Februari 2018 @ 6:28 AM