Audrey Dermawan

Seberang Jaya: Pejabat Konsulat Indonesia Pulau Pinang menyerahkan kepada polis menyiasat kes pembantu rumah Indonesia yang meninggal dunia disyaki didera majikannya, semalam.

Timbalan Konsul Jeneralnya, Osrinikita Zubhana berkata, pihaknya berharap polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

“Kami memberi perhatian serius terhadap isu ini kerana ia membabitkan warga negara kami.

“Kami harap dengan bantuan polis di sini, kes dapat diselesaikan,” katanya, semalam.

Mangsa, Adelina, 21, berasal dari Medan, Indonesia diselamatkan anggota polis, Sabtu lalu selepas disyaki kerap didera majikannya.

Dia dilaporkan meninggal dunia jam 4.45 petang semalam ketika mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam.

Ketika diselamatkan dari kediaman majikannya di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam, mangsa ditemui dengan pelbagai kesan kecederaan teruk pada kepala, muka serta luka pada kedua-dua tangan dan kaki.

Nasib Adelina mendapat perhatian selepas pembantu Ahli Parlimen Bukit Mertajam membuat laporan polis mengenainya.

Menurut Osrinikita, keluarga Adelina dimaklumkan mengenai berita buruk itu.

“Kami sedia beri sebarang bantuan diperlukan mereka,” katanya.

 Neni Kurniati (tengah) keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya selepas proses pengecaman mayat Adelina yang mati dipercayai didera majikannya.
Neni Kurniati (tengah) keluar dari Unit Forensik Hospital Seberang Jaya selepas proses pengecaman mayat Adelina yang mati dipercayai didera majikannya.

Sementara itu, proses bedah siasat punca kematian Adelina dijalankan pagi semalam, bagaimanapun polis belum mendedahkan keputusannya.

Susulan kejadian itu, polis menahan majikan mangsa, sepasang adik-beradik lelaki dan perempuan berusia 36 dan 39 tahun untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Sementara itu di George Town, Pengarah Tenaganita, Glorene Das berkata, pihaknya mahu undang-undang khas digubal untuk menangani kes sedemikian.

“Peruntukan undang-undang Akta Pekerjaan untuk pembantu rumah nampaknya tidak memadai bagi melindungi mereka.

“Sampai bila kita mahu perkara sebegini berlarutan. Apa yang kita perlukan adalah undang-undang berasingan untuk mereka,” katanya.

Menurut Glorene, selagi mereka ini ditakrifkan sebagai pembantu rumah dan amah dalam Akta Pekerjaan, ia mewujudkan set minda ‘tuan dan hamba’ dalam kalangan majikan.

“Kita perlu lebih serius mencari punca mengapa ada majikan berasa perkara normal mendera pembantu rumah mereka.

“Kami minta kerajaan melalui kementerian berkenaan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kematian Adelina, kerana tidak mewujudkan polisi dan undang-undang efektif untuk melindunginya daripada didera majikan,” kata beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 5:21 AM