DR Ahmad Zahid berjabat tangan dengan Hanif ketika menerima kunjungan hormat beliau di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.
DR Ahmad Zahid berjabat tangan dengan Hanif ketika menerima kunjungan hormat beliau di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya.
Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Pembayaran gaji bagi pekerja asing dari Indonesia akan dikreditkan terus ke dalam akaun bagi mengelakkan mereka ditipu majikan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, peraturan baru itu akan dilaksanakan selepas mendapati terdapat majikan di negara ini yang mengambil kesempatan menipu pekerja asing berkenaan dengan tidak membayar gaji yang dijanjikan sebelum mengambil mereka bekerja.

Tanpa mendedahkan bila akan dilaksanakan, Dr Ahmad Zahid berkata, KDN sedang berusaha untuk menjalin kerjasama antara bank Indonesia dan Malaysia sebelum melaksanakan peraturan baru itu.

“Selepas ini gaji tidak diberikan secara tunai, sebaliknya dikreditkan terus ke dalam akaun bank, malah mereka (pekerja asing) dibenarkan untuk membuka akaun menggunakan kad akuan diri pekerja asing iaitu i-Kad yang dimiliki setiap pekerja itu dan transaksi wang akan dilakukan terus secara atas talian dibayar kepada keluarga mereka.

“Langkah ini diambil kerana ada dalam kalangan majikan di Malaysia yang menipu pekerja dengan tidak membayar gaji, itu sebab peraturan baru ini akan diperkenalkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia Hanif Dhakiri di kementeriannya, semalam.

Dr Ahmad Zahid berkata, kunjungan Hanif ke Malaysia adalah atas arahan Presiden Indonesia baru Joko Widodo supaya warga negara Indonesia yang bekerja di negara ini tanpa dokumen perlu dihantar pulang supaya tidak membebankan rakyat dan kerajaan Malaysia.

“Ini termasuk 1,428 yang ditahan dan ditempatkan di Depoh Tahanan Semenyih, Selangor dan Pasir Gudang, Johor. Hanif sendiri akan menyaksikan penghantaran pulang kumpulan ini yang dilakukan atas usaha beliau sendiri.

“Ini sekali gus menunjukkan keterbukaan Presiden Jokowi untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia mengurangkan denda terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan kepada RM300.

Menurutnya, kerajaan Indonesia menerusi Hanif memohon supaya PATI ini tidak dikenakan denda, namun kementerian bersetuju untuk mengurangkan denda kepada RM300 di samping bayaran RM100 untuk permit khas.

“Selain itu kerajaan Indonesia, Kedutaan Besar Indonesia, KDN dan Jabatan Imigresen juga bersetuju dengan sejumlah bayaran yang akan dikenakan syarikat dilantik bagi proses penghantaran pulang PATI ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Zahid berkata, sehingga ini, terdapat 826,226 pekerja Indonesia yang sah berada di negara ini dan mewakili 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya masih terdapat sejumlah besar lagi yang tidak mempunyai dokumen dan tinggal di negara ini secara tidak sah.

Menurutnya, atas dasar hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kerajaan sudah melaksanakan Program PATI Serah Diri bagi membolehkan mereka pulang ke negara asal secara sukarela mulai 1 Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:15 AM