ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar di rumah Kelesom di Kampung Sungai Limau, Baling. FOTO ihsan APM
ANGGOTA APM menangkap ular tedung selar di rumah Kelesom di Kampung Sungai Limau, Baling. FOTO ihsan APM
Safuri Kamarudin


KANAK-KANAK lelaki berusia lapan tahun melalui detik cemas apabila hampir dipatuk ular tedung selar selepas reptilia itu memasuki rumahnya di Kampung Sungai Limau, Baling, malam tadi.

Dalam kejadian 8.30 malam, Harith Fadzilah Jamal, sempat menjerit selepas melihat ular itu masuk ke arah dapur sebelum didengari neneknya, Kelesom Hassan, 76.

Kelesom berkata, dia terkejut selepas cucunya memberitahu terdapat ular memasuki rumah mereka.

"Sebaik mendengar jeritan itu, saya terus menuju ke dapur dan terdengar dengusan ular di bawah kawah yang diletakkan di atas para rumah.

"Ular itu menyelinap masuk ke bawah kawah dan bersembunyi di situ," katanya.

Kelesom berkata, dalam keadaan tergesa-gesa, dia terus keluar rumah bersama cucunya sambil meminta tolong jiran kerana terlalu takut dan bimbang ular itu mengancam nyawa mereka.

"Selepas itu, jiran menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) kerana bimbang ular berbisa itu agresif, " katanya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Leftenam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mereka menerima panggilan pada jam 9 malam dan tiba ke lokasi 15 minit kemudian.

"Empat anggota APM mengambil masa 25 minit untuk menangkap ular itu.

"Pada mulanya, ia agak agresif, tetapi pengalaman anggota dapat menjinakkannya. Ular seberat empat kilogram dan panjang lima meter itu kes tangkapan kelima sepanjang tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta lebih berhati-hati berikutan keadaan cuaca panas dan kering menyebabkan ular berbisa keluar mencari air.

Katanya, orang ramai diminta menghubungi APM di talian 04-4701626 sekiranya terserempak dengan binatang berbahaya dan berbisa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2018 @ 7:07 PM