Anggota APM ambil masa sejam untuk keluarkan ular sawa sepanjang enam meter dari kawasan paya.  - Foto Ihsan APM
Anggota APM ambil masa sejam untuk keluarkan ular sawa sepanjang enam meter dari kawasan paya. - Foto Ihsan APM
Ular sawa batik yang ditangkap selepas menelan kambing di Baling, semalam. - Foto Ihsan APM
Ular sawa batik yang ditangkap selepas menelan kambing di Baling, semalam. - Foto Ihsan APM
Safuri Kamarudin


Baling: Ular sawa batik seberat 100 kg, sepanjang enam meter yang menelan kambing penduduk Kampung Luar Mukim Siong, Baling, berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), semalam.

Pegawai APM Daerah Baling Mohd Faizol Ab Aziz berkata, sejurus menerima panggilan penduduk pada 8 malam, sepasukan anggota bergegas ke rumah mangsa dan sampai kira-kira 15 minit kemudian.

Beliau berkata, ular itu ditemui di kawasan paya kira-kira 100 meter dari rumah penduduk.

"Ular sawa berkenaan dipercayai tidak dapat melarikan diri kerana kekenyangan selepas menelan seekor kambing.

"Ia berlingkar dalam semak di kawasan paya hingga menyukarkan anggota untuk menangkap," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, tujuh anggota mengambil masa sejam untuk membawa naik ular sawa itu ke darat kerana persekitaran gelap dan berpaya serta dilitupi semak.

"Ular sawa itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Baling," katanya.

Beliau meminta penduduk berhati-hati jika terjumpa ular berbisa atau ular sawa dan menghubungi APM di talian 04-4701626 atau talian kecemasan 999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 3:31 PM