ASRIN menunjukkan cara penjagaan pokok bonsai.
ASRIN menunjukkan cara penjagaan pokok bonsai.
Zairee Mohd Yasak

Alor Gajah: Bukan sahaja menghabiskan masa berjam-jam setiap hari membelek 20 pokok bonsai kesayangannya, malah Asrin Mohammad, 51, sanggup membelanjakan RM2,000 bagi menyediakan sistem pencahayaan semata-mata mahu menaikkan lagi seri pokok renek menghiasi halaman rumahnya.

Juruteknik pendawaian elektrik itu berkata, minatnya itu bermula sejak lima tahun lalu selepas teruja dengan kecantikan pokok renek berkenaan ketika berkunjung ke rumah rakannya.

Katanya, sejak itu dia kerap ke rumah rakannya itu semata-mata mahu belajar mengenai cara menggubah tumbuhan renek itu mengikut citarasa dan kreativiti yang memberikan kepuasan kepada dirinya.

“Pernah saya ke rumah rakan dua kali dalam satu hari, selepas mendapat petua daripada rakan saya melakukan eksperimen sendiri dan berasa amat puas hati kerana mendapat hasil sepeti dimahukan.

“Peminat pokok bonsai di Melaka termasuk saya sendiri hanya ada 20 orang sahaja, meskipun tak ramai kami kerap ke luar negara termasuk Indonesia untuk mencari benih sesuai.

“Antara jenis pokok bonsai menjadi buruan kami adalah jenis asam jawa, melati, limau, ara, juniper dan box tree kerana mudah dibentuk selain ia tahan lasak, soal harga perkara nombor dua yang penting dapat puaskan hati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah.

BENIH pokok juniper yang turut ditanam Asrin.
BENIH pokok juniper yang turut ditanam Asrin.

Katanya, selain menyediakan sistem pencahayaan, dia turut menggunakan pasu, tempayan atau barangan antik lain untuk menaikkan lagi seni pokok bonsai digubahnya hingga harga tumbuhan itu melambung tinggi.

Selain itu Asrin, kerap mengubah kedudukan pokok bonsai berkenaan yang diatur mengikut kehendaknya di sekitar halaman rumahnya bagi mencari kelainan.

Malah beliau pernah didatangi individu sanggup membeli pokok bonsai jenis juniper digubahnya sejak lima tahun lalu pada harga RM15,000 namun tawaran itu ditolak.

Baginya dia lebih gemar mengembangkan dan berkongsi seni menggubah pokok renek itu kepada masyarakat berbanding mencari keuntungan.

ANTARA pokok bonsai yang ditanam Asrin.
ANTARA pokok bonsai yang ditanam Asrin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 5:17 AM