KOKEDAMA atau pokok kepal.
KOKEDAMA atau pokok kepal.
Muhammad Apendy Issahak


Tanaman hiasan sesuai ditanam dalam pasu untuk mencantikkan rumah. Hakikatnya pelbagai teknik lain boleh dipraktikkan seperti seni bonsai Jepun atau kokedama untuk tanaman di dalam pasu.

Kokedama jika diterjemahkan bermaksud ‘koke’ iaitu lumut dan ‘dama’ pula bermakna bulat dengan bahasa mudahnya bebola lumut atau seni pokok kepal.

Melalui teknik ini, akar pokok dibalut dengan media tanaman kemudian dilitupi lumut sebelum diikat menggunakan tali dan mengubahnya menjadi bentuk arca.

Kokedama boleh dijadikan tanaman hiasan secara gantung atau diletakkan pada bekas termasuk barangan terpakai seperti tempurung dan sabut kelapa.

AINUL Mardhiyyah menunjukkan cara membuat kokedama atau pokok kepal.
AINUL Mardhiyyah menunjukkan cara membuat kokedama atau pokok kepal.

Pegawai Pertanian Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) Universiti Putra Malaysia (UPM), Ainul Mardhiyyah Mohamed Ghazali berkata, konsep seni dari Jepun itu sudah lama ada namun kini baru diketengahkan di negara ini.

Menurutnya, kokedama semakin digemari terutama peminat tanaman hiasan kerana ia tidak memerlukan kos yang tinggi malah menjimatkan kos kerana boleh menggunakan barangan terpakai selain sesuai dijadikan aktiviti keluarga.

“Bahan yang diperlukan hanyalah tanah campuran, spaghnum atau lumut hijau, pokok hiasan, air, tali, gunting dan gunting pertanian.

“Pokok yang sesuai daripada jenis yang kecil dan hanya memerlukan penjagaan minimum antaranya english ivy (hedera helix), paku pakis (asplenium sp), pothos sp dan parlor palm,” katanya ketika ditemui pada Program Klinik Pertanian Daerah Batang Padang di Arena Merdeka, Tapah, Perak, baru-baru ini.

TANAH dikepal menjadi bentuk bulat atau ‘dama’.
TANAH dikepal menjadi bentuk bulat atau ‘dama’.

Ainul Mardhiyyah berkata, untuk menghasilkan pokok kepal ini, lumut perlu direndam supaya menyerap air dan tanah campuran juga digaul dengan air sehingga tanah berbentuk bulat.

“Pokok hiasan disediakan dengan membersihkan akar daripada tanah dan akarnya dipotong sedikit untuk memudahkan cantuman dengan tanah.

“Tekapkan tanah pada akar pokok dan bentukkannya menjadi bulat, kemudian balut bahagian ini dengan lumut yang diperah hingga menutupi keseluruhan tanah yang sudah dibulatkan,” katanya.

Menurutnya, akhir sekali tanah yang sudah dikepal dengan lumut itu perlu dililit dengan tali hingga kemas.

“Kokedama hanya memerlukan penjagaan minimum, disiram empat hari sekali secara semburan air halus pada lumut yang membalut tanah atau merendam seketika bebola ke dalam air serta air lebihannya diperah.

“Pembajaan pula boleh menggunakan baja semburan dan pencahayaan bergantung kepada jenis pokok hiasan yang digunakan,” katanya.

KOKEDAMA yang sudah siap dililit dengan tali.
KOKEDAMA yang sudah siap dililit dengan tali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 12:30 PM