AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) menziarahi Jalaini Ishak  yang mengalami bengkak dan kemerah-merahan di kedua belah kakinya di rumahnya di Kampung Tanjung, Kupang, di sini, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
AHLI Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kiri) menziarahi Jalaini Ishak yang mengalami bengkak dan kemerah-merahan di kedua belah kakinya di rumahnya di Kampung Tanjung, Kupang, di sini, hari ini. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin


SUDAH jatuh ditimpa tangga, itu nasib penoreh getah yang sebelum ini menghidap penyakit buah pinggang, jantung dan paru-paru, malah kini kedua-dua belah kakinya membengkak hingga tidak boleh berjalan.

Jalaini Ishak, 46, dari Kampung Tanjung Kupang berkata, kakinya mula membengkak selain mempunyai kesan bintik merah sejak November lalu.

"Pada awalnya saya tidak mengesyaki apa-apa apabila kedua-dua belah kaki membengkak dan timbul bintik-bintik merah kerana tidak merasa sakit ataupun gatal.

"Tetapi bimbang menjadi lebih teruk, saya kemudian mendapatkan rawatan di klinik. Bagaimanapun, kes saya terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani," katanya ketika menerima lawatan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, ke rumahnya hari ini.

Menurut Jalaini, bengkak di kedua belah kakinya itu timbul dari bahagian tapak kaki sehingga ke pinggang.

Katanya, ketika mendapat rawatan di HSAH, doktor mengesahkan dia mengalami masalah tekanan darah yang rendah.

"Doktor merawat saya selama 18 hari kerana turut mengalami masalah buah pinggang, paru-paru dan jantung.

"Sejak itu saya tidak dapat bergerak dan melakukan sebarang pekerjaan termasuk menoreh getah," katanya.

Menurutnya, dia kini bergantung sepenuhnya kepada isteri, Aslina Azam, 43, yang bekerja di kantin sekolah untuk menjaganya termasuk berulang-alik menghantarnya ke hospital bagi menjalani rawatan.

"Anak saya, Mohd Arif Hafiz, 13, kini sedang belajar di Sekolah Model Khas dan seorang lagi anak angkat, Mohd Fauzi Abd Nasir, 14, sedang belajar di Sekolah Menengah Jerai," katanya.

Katanya, keluarganya amat mengharapkan bantuan untuk meringankan beban bagi membiayai kos rawatan selain perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anaknya.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, beliau amat bersimpati nasib keluarga terbabit dan akan mencari kaedah untuk membantu mereka termasuk merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Saya akan membantu membiayai kos rawatannya termasuk bantuan kewangan berjumlah RM200 setiap bulan.

"Bekalan makanan seperti beras, gula, tepung, kopi dan susu turut diberikan selain menghantar permohonan bantuannya ke JKM untuk pesakit terlantar," katanya.

Bagi mereka yang ingin membantu Jalaini, dia boleh dihubungi di talian 019-5051022.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 January 2018 @ 7:33 PM