PERBANDINGAN buah pinggang normal dengan nefritis lupus.
PERBANDINGAN buah pinggang normal dengan nefritis lupus.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Penyakit nefritis lupus boleh mengakibatkan kematian sekiranya pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital.

Ia berlaku apabila penyebab kepada nefritis lupus iaitu sistemik lupus eritematosus (SLE) menyerang organ penting seperti buah pinggang, paru-paru dan jantung.

Pakar Perunding Nefrologi dan Perubatan Dalaman Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof Dr Abdul Halim Gafor berkata, SLE adalah penyakit autoimun apabila antibodi seseorang bertindak balas dengan tisu tubuhnya sendiri.

"Ia seterusnya menyebabkan keradangan dan kerosakan organ penting manusia.

"Apabila SLE menyerang buah pinggang, ia mencetuskan penyakit nefritis lupus," katanya.

Dr Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia berkata, ada pesakit nefritis lupus terpaksa menjalani rawatan dialisis sepanjang hayat berikutan kegagalan fungsi organ berkenaan.

"Jika pesakit bertindak cepat mendapatkan rawatan awal bagi mengawal pengeluaran antibodi yang bahaya itu, ia dapat mengelakkan masalah kerosakan buah pinggang.

"Dalam keadaan lain, walaupun sistem antibodi sudah menyerang tisu tubuh, keberkesanan rawatan yang bersesuaian boleh menghentikan pengeluarannya (antibodi bahaya) dan keradangan akan berkurangan," katanya.

Prevalens SLE di Malaysia ialah 43 pesakit bagi setiap 100,000 penduduk.

Menurut Dr Abdul Halim, punca penyakit nefritis lupus hampir menyamai SLE.

"Terdapat tiga faktor yang dikaitkan sebagai penyebab penyakit nefritis lupus iaitu genetik, persekitaran dan hormon wanita.

"Individu yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit nefritis lupus, berisiko mengalami penyakit berkenaan.

"Faktor persekitaran pula adalah disebabkan terdedah kepada cahaya matahari yang panas, lalu mencetuskan penyakit ini.

"Faktor terakhir ialah hormon kerana penyakit SLE dan nefritis lupus kerap berlaku dalam kalangan wanita muda berusia di antara 20 hingga 40 tahun," katanya.

Dr Abdul Halim berkata, penyakit ini berpotensi sembuh dan pesakit boleh menjalani kehidupan seperti biasa melalui kaedah rawatan menggunakan ubat.

"Oleh kerana nefritis lupus adalah penyakit bertindak balas dengan tisu tubuh sendiri, pesakit diberikan ubat yang boleh mengurangkan pengeluaran antibodi berbahaya pada badan.

"Ubat yang digunakan dalam rawatan ini ialah 'immunosupresif'. Contoh, steroid kerana ia adalah ubat penting untuk diberikan kepada pesakit SLE dan juga nefritis lupus," katanya.

Jelasnya, antara gejala awal penyakit nefritis lupus seperti air kencing berbuih, kencing berdarah, bengkak di tapak kaki, pergelangan kaki dan betis.

"Gejala awal ini boleh berubah menjadi teruk dalam tempoh beberapa bulan sekiranya pesakit lewat mendapatkan rawatan di hospital.

"Kesannya akan menyebabkan keradangan dan kegagalan buah pinggang," katanya.

Kata Dr Abdul Halim, kesedaran masyarakat mengenai penyakit ini mula meningkat selepas kejadian seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dikesan menghidap penyakit ini 15 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 6:55 AM