Mohd Rosdi (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada penerima bantuan input pertanian dan peralatan kecil sempena Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil di Pejabat KADA Jajahan. FOTO Faris Zainuldin

Mohamad Zulhairie Manzaidi

LEMBAGA Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menyediakan peruntukan RM209,100 kepada 159 petani kecil di Tumpat pada tahun ini untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, pengagihan pada tahun ini dibuat lebih teliti berbanding sebelum ini.

"Sebelum menerima bantuan ini, kita wajibkan mereka mengikuti kursus yang dianjurkan KADA pada Ogos lalu.

"Setiap petani diberi bantuan mengikut kepakaran mereka masing-masing supaya berterusan dan sekali gus meningkatkan pendapatan golongan petani," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil, di Pejabat KADA Jajahan Tumpat, hari ini.

ANNUAR menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil Kawasan Kadok, di Pejabat Gerakan DUN Kadok hari ini. FOTO  Fariz Zainuldin
ANNUAR menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil Kawasan Kadok, di Pejabat Gerakan DUN Kadok hari ini. FOTO Fariz Zainuldin

Hadir sama, Pengurus Besar KADA Mohd Ridzuan Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.

Menurutnya, antara bantuan yang diagihkan adalah benih sayur dan buah-buahan, ternakan unggas, biri-biri dan ikan.

"Projek ini dilihat mampu meningkatkan pendapatan petani berskala kecil selain meningkatkan pengeluaran sayur, buah, daging, tenusu ternakan unggas dan ternakan air," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Nor Azmah Daud, 49, berkata, program yang diadakan itu memberi manfaat kepada petani dan penternak sepertinya.

"Hari ini, saya terima benih ikan patin sebanyak 5,000 ekor dan Insya-Allah, saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin bagi menambah pendapatan keluarga.

"Saya dan suami, Mohd Sabki Yakob, 57, sudah mengusahakan ternakan ikan seperti keli, siakap dan talapia sejak 17 tahun lalu. Jadi dengan pertambahan satu jenis lagi ikan, saya yakin ia dapat meningkatkan pendapatan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 8:28 PM