Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 72 unit rumah di Taman Bukit Permai 2 di Ampang Jaya berkemungkinan terjejas sekiranya berlaku lagi runtuhan cerun.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Hulu Langat, Dr Ani Ahmad.

"Dr Ani membuat kenyataan bahawa beliau mendapat laporan membuktikan bahawa keadaan cerun di kawasan itu tidak selamat dan kita sudah mengenalpasti 72 unit rumah yang berkemungkinan akan terjejas jika berlaku runtuhan kali kedua dan ketiga.

"Justeru, pihak jawatankuasa bencana daerah akan mengeluarkan arahan untuk pengosongan rumah berkenaan dalam kadar segera untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku," katanya ketika ditemui di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, di sini, tadi.

Beliau berkata, selepas arahan pengosongan dikeluarkan, ia akan diikuti dengan usaha pembaikan dan pemulihan cerun yang akan dilakukan secepat mungkin selepas kos diperolehi.

"Pada peringkat awal sejumlah 48 rumah dikesan dan selepas kajian dibuat..sejumlah 72 (rumah) didapati terbabit sama terutamanya di bahagian bawah.

"Rumah-rumah ini berisiko tinggi jika dibiarkan terutamanya dalam keadaan hujan dan sebagainya. Malah menerusi kajian itu pergerakan kecil tanah dapat dikesan," katanya.

Terdahulu, ujian kajian kestabilan tanah dijalankan oleh pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Media pada 11 Mac lalu melaporkan, lebih 200 penghuni 48 rumah di Taman Bukit Permai 2, Ampang Jaya diarah mengosongkan kediaman masing-masing demi keselamatan diri, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa membuat kajian terperinci susulan kejadian tanah runtuh mengorbankan empat nyawa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 4:30 PM