Rosilawati (dua kanan) melawat Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rosilawati (dua kanan) melawat Program Jimat Belanja Dapur di Pasar Tani Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Nursyahirah Marzuki
am@hmetro.com.my


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkasakan lagi Program Jimat Belanja Dapur ke seluruh negara bagi memberi peluang kepada rakyat mendapatkan barang keperluan harian dengan kadar lebih rendah.

Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan FAMA Rosilawati Abu Hassan berkata, program itu akan diperluaskan ke 706 lokasi pasar tani seluruh negara selain di Agrobazaar Kedai Rakyat, Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) dan MyFarm Outlet pada setiap hari.

"Melalui program ini, kita akan memberi penjimatan kepada 27 barangan keperluan terpilih seperti ikan, ayam, sayur dan buah-buahan dengan potongan antara lima sehingga 20 peratus kecuali barangan kawalan.

"Memandangkan pasar tani ini adalah lokasi tumpuan, maka kita jangka jumlah pengunjung akan meningkat sekali gus menyumbang kepada hasil jualan," katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Tani Putrajaya, hari ini.

Katanya, pihaknya juga mensasarkan hasil jualan di pasar tani meningkat kira-kira RM950 juta pada tahun ini berbanding RM860 juta pada 2017.

Rosilawati berkata, Program Jimat Belanja Dapur adalah langkah kerajaan menangani kos sara hidup yang semakin meningkat selain mendidik rakyat berbelanja secara berhemah.

"Kenaikan harga komoditi biasa berlaku akibat kekurangan bekalan disebabkan faktor cuaca seperti hujan dan musim tengkujuh.

"Oleh itu, FAMA berusaha menangani masalah ini termasuk melaksanakan program Jimat Belanja Dapur di pasar tani terpilih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 8:25 PM