ORANG ramai berbelanja di My Farm Outlet, Putrajaya.
ORANG ramai berbelanja di My Farm Outlet, Putrajaya.
Siti A'isyah Sukaimi

Putrajaya: Boleh jimat kira-kira RM200 sebulan atau bersamaan RM50 dalam tempoh seminggu. Itu antara manfaat Program Harapan Rakyat Malaysia Meringankan Beban Pengguna yang diadakan sempena bulan Ramadan ini.

Menerusi program itu, barangan basah seperti ayam, ikan dan daging serta barang kering iaitu gula dan telur dijual dengan harga istimewa dan lebih murah berbanding harga biasa.

Usaha murni itu dijalankan oleh Pusat Pasar Ayam Dato’ bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), HALMIM Nasional dan Biro Pertanian dan Industri Asas Tani DPMM.

Pengerusi Biro Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Noor Ali Akbar berkata, sehingga kini, program itu sudah dilaksanakan selama enam bulan secara serentak di 10 lokasi di sekitar Lembah Klang.

“Berdasarkan harga barang pada hari biasa, sekilogram ayam proses (standard) berharga RM8, tetapi ditetapkan RM5.79 sekilogram pada program ini di MyFarm Outlet hari ini manakala ikan kembung dijual dengan harga RM5 sekilogram.

“Harga ditawarkan memang murah dan bertujuan meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya pengguna kumpulan B40, sekali gus ia memang berbaloi,” katanya kepada pemberita pada Program Harapan Rakyat Malaysia Meringankan Beban Pengguna MyFarm Outlet di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub untuk mengutarakan beberapa cadangan, misalnya agro bazaar, pasar tani dan MyFarm Outlet di seluruh negara menawarkan harga lebih rendah bagi setiap Sabtu dan Ahad bagi membantu kumpulan B40.

“Selain itu, DPMM juga mahu mencadangkan fungsi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diperkemaskan kerana kita agak kecewa memandangkan FAMA tidak bersama kita hari ini.

“Kita mengharapkan sokongan daripada FAMA supaya program ini memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat. Malah, MyFarm Outlet ini juga satu daripada produk di bawah FAMA,” katanya.

Seorang pembeli, Mardziyah Hashim, 50, berkata, dia juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan harga murah bagi barangan yang ditawarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 11:10 AM