PENGARAH FAMA Melaka, Hairudin Yunos (baju putih) menyerahkan beras yang dibeli oleh penduduk setempat di Jualan Agro Madani. FOTO NURALIAWATI SABRI.
PENGARAH FAMA Melaka, Hairudin Yunos (baju putih) menyerahkan beras yang dibeli oleh penduduk setempat di Jualan Agro Madani. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Jasin: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka memberi jaminan bekalan beras putih tempatan di negeri itu mencukupi dan tidak mempunyai isu kekurangan bekalan.

Pengarahnya, Hairudin Yunos berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) negeri dalam memastikan Melaka mendapat bekalan beras mencukupi untuk diedarkan kepada rakyat.

"Dari September lalu sehingga hari ini, FAMA memperoleh bekalan beras putih tempatan sebanyak 114 matrik tan dan kesemua beras itu kita berjaya selaras serta edarkan kepada rakyat.

"Setiap minggu kita akan edarkan sekurang-kurangnya 3,000 kampit beras bersamaan 30 matrik tan ke 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada mengadakan Jualan Madani dan juga di 27 Agrobazaar Rakyat (ABR) termasuk outlet jualan milik Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) serta kepada peruncit yang berminat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Go Cashless@ABR di Umbai, Merlimau, hari ini.

Menurutnya, agihan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) dibuat bagi membantu rakyat supaya lebih mudah menerima bekalan bahan makan ruji berkenaan.

"Sebab itu kalau orang Melaka kata susah hendak dapatkan beras tempatan tidak mungkin kerana kita edarkan bekalan yang diperoleh.

"Boleh katakan bekalan beras cukup kerana kita selaraskan pengedaran menerusi kuota yang FAMA dapat, ini adalah sebagai langkah intervensi dalam menangani permintaan bahan makan ruji negara," katanya.

Sementara itu, Hairudin berkata, sepanjang tahun ini FAMA Melaka menyasarkan nilai jualan

yang diperoleh dari kesemua 27 ABR di negeri ini sebanyak RM15 juta berbanding hampir lebih RM9 juta tahun lalu.

"Untuk ABR pada tahun ini kita hanya sasarkan RM10 juta tetapi sehingga bulan September nilai jualan sudah mencecah RM13 juta justeru itu angka itu dinaikkan kepada RM15 juta sehingga hujung tahun ini.

"FAMA optimis nilai itu akan diperoleh berdasarkan dengan bantuan program yang sudah dirancang dan akan dilaksanakan dalam tempoh kira-kira tiga bulan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 1:27 PM