GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuka 42 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara dalam tempoh sekatan pergerakan penuh fasa pertama.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Fama Mohamad Mustahapa Awang berkata, ia terdiri dua MyFarm Outlet (MFO), pasar tani kekal (24), pusat operasi Fama (14) dan Agrobazaar (dua) berbanding 63 lokasi PST yang dibuka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

"Walaupun Fama buka 42 outlet berbanding sebelum ini, ia hanya secara fizikal kerana kami turut menumpukan kepada aktiviti jualan secara dalam talian," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan ke MFO Putrajaya bagi meninjau operasi bekalan keperluan harian secara dalam talian, tempahan awal, penghantaran dan pandu lalu bagi penduduk di kawasan itu.

Menurut Mohamad Mustahapa, Fama dengan kerjasama Mukmin Pay Sdn Bhd telah memperkenalkan aplikasi Mukmin Mart kepada usahawan Fama di 16 lokasi pasar tani di Kuala Lumpur, Putrajaya dan MFO Putrajaya dan sehingga kini sudah mendaftarkan 300 orang.

Menerusi aplikasi itu, katanya, nilai jualan yang direkodkan dari Februari hingga Mei tahun ini adalah RM500,000 dan menjangkakan jualan meningkat kepada RM6.5 juta pada hujung 2021 serta pendaftaran 5,000 usahawan.

Selain itu, Fama dan Mukmin Pay turut mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam sektor ekonomi gig menerusi Program Mukmin Mart Rider yang sehingga kini mempunyai 500 penghantar barangan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:33 PM