ANGGOTA bomba mengangkat ular sawa yang ditangkap di Kampung Sarang Helang, Kemasik, Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA bomba mengangkat ular sawa yang ditangkap di Kampung Sarang Helang, Kemasik, Kemaman, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


ULAR sawa batik seberat 200 kilogram berjaya ditangkap selepas membaham dua ekor ayam milik penduduk di Kampung Sarang Helang, Kemasek, Kemaman, hari ini.

Reptilia sepanjang enam meter itu ditangkap sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh pada 5.45 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kerteh Timbalan Penguasa Bomba Khairul Hasmi Mokhtar berkata, lima anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan daripada pemilik rumah terbabit.

"Ular terbabit tidak mampu bergerak akibat kekenyangan, dan kami terpaksa menarik keluar haiwan terbabit dari dalam reban.

"Kami mengambil masa selama 15 minit untuk mengeluarkan ular itu berikutan tindakannya yang agresif termasuk keadaan reban ayam yang sempit," katanya.

Katanya, keadaan fizikal ular berkenaan menyebabkan pihaknya terpaksa membawa reptilia itu pulang ke balai bomba dengan menggunakan lori.

"Ular terbabit kemudian diserahkan kepada pengurusan Zoo Kemaman untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:24 PM