Norasikin Daineh

NILAI wang yang dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) setakat ini sebanyak RM5.3 juta.

Nilai itu membabitkan wang di dalam akaun dan peti simpanan di beberapa bank milik empat suspek yang ditahan reman kelmarin.

Bagaimanapun, sumber yang rapat dengan SPRM berkata, nilai itu dijangka akan meningkat selepas beberapa akaun bank milik isteri dan anak semua suspek disiasat.

Katanya, wang itu hanya dibekukan dan bukannya dirampas seperti yang dilaporkan sebelum ini.

“RM5.3 juta itu hanya membabitkan wang dalam akaun dan peti keselamatan, bagaimanapun belum ditambah dengan nilai yang lain.

“Beberapa akaun milik keluarga iaitu isteri dan anak empat suspek yang direman akan disiasat,” katanya.

Selain itu, sumber berkata, SPRM sudah memanggil beberapa saksi sejak semalam untuk membantu siasatan.

Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.

SPRM sebelum ini menahan reman tiga pegawai JKNS termasuk Ketua Juruteranya berusia 58 tahun yang juga Pemangku Timbalan Pengarah dan seorang pengarah syarikat kontraktor sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan berhubung projek penyelenggaraan dan kecemasan kereta api di Sabah.

SPRM turut menyita beberapa hartanah bernilai RM2.7 juta termasuk rumah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah, milik empat suspek itu.

Susulan itu, SPRM mengenakan sekatan terhadap beberapa rumah dan hartanah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah supaya tidak boleh dijual atau ditukar tangan sepanjang tempoh siasatan.

Selain itu, turut dirampas wang tunai kira-kira RM170,000 dan dua motosikal berkuasa tinggi daripada beberapa suspek.

Berita berkaitan

'Empat direman kes rasuah projek kereta api'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 12:36 PM