KENDERAAN SPRM membawa keluar dua Penolong Jurutera JKNS yang dibebaskan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah
KENDERAAN SPRM membawa keluar dua Penolong Jurutera JKNS yang dibebaskan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah di Kepayan, Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Malai Rosmah Tuah
Norasikin Daineh


DUA Penolong Jurutera Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang ditahan reman untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibebaskan, hari ini.

Suspek berusia 36 dan 38 tahun yang sebelum ini direman sejak 31 Januari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Kedua-dua suspek diarah membayar wang jaminan RM100,000 setiap seorang tanpa deposit dengan dua penjamin oleh Majistret Stephanie Abbie Sherron dalam prosiding dijalankan di Lokap Berpusat Kontinjen Sabah, di sini.

SPRM diwakili Pegawai Pendakwanya Mohd Faliq Basirudin.

Dua suspek itu antara tujuh individu yang disiasat berhubung kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa JKNS iaitu membabitkan projek yang dilaksanakan antara 2012 hingga tahun lalu.

Tiga pegawai termasuk Pemangku Timbalan Pengarah merangkap Ketua Jurutera jabatan itu dan dua kontraktor yang ditahan reman sebelum ini juga sudah dibebaskan.

SPRM sebelum ini merampas wang tunai kira-kira RM1.6 juta dan membekukan RM5.3 juta simpanan dalam beberapa akaun membabitkan beberapa suspek yang disiasat berkaitan kes itu, setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 12:04 PM