FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Syah Rul Aswari Abdullah


SPRM menahan pemilik syarikat bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS).

Sumber yang rapat dengan SPRM Sabah, berkata suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, petang Sabtu.

Menurutnya, SPRM sebelum itu menggeledah rumah suspek sama sebelum menemui RM1.6 juta, pada Rabu lalu.

“SPRM akan memohon perintah reman terhadap supek di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk Sazali Salbi mengesahkan penahanan suspek.

Dengan perkembangan ini, SPRM sudah menahan lima suspek bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa JKNS.

Mereka terdiri daripada Ketua Jurutera JKNS berusia 58 tahun yang juga Pemangku Timbalan Pengarah dan dua lagi jurutera jabatan itu, masing-masing 39 dan 37 tahun.

Sazali sebelum ini mendedahkan bahawa wang yang dibekukan dalam siasatan kes itu adalah RM5.3 juta.

Jumlah itu meliputi wang tunai dan duit yang disimpan dalam beberapa akaun bank milik beberapa suspek.

Beliau juga memberitahu pihaknya sudah mendaftarkan ‘kavaet’ untuk menyekat hak milik beberapa hartanah, termasuk rumah di Johor, Kuala Lumpur dan Sabah daripada tukar milik.

Kebanyakan projek disiasat dalam kes itu berkaitan dengan penyelenggaraan landasan dan kereta api, termasuk peruntukan kecemasan dengan ada antaranya tidak dilaksanakan.

Berita berkaitan

Kenyang makan rasuah

Akaun + peti simpanan = RM5.3 juta

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 10:46 PM