MUHAMMAD Hazim  (tengah) dicium  ibu bapanya, Zahari Isa dan Sarimah Hassan selepas diumumkan Tokoh Tahfiz 2017.
MUHAMMAD Hazim (tengah) dicium ibu bapanya, Zahari Isa dan Sarimah Hassan selepas diumumkan Tokoh Tahfiz 2017.
HM Digital

Kota Bharu: Impiannya sejak kecil adalah mendalami al-Quran dan menuntut di sekolah tahfiz dan kini semuanya tersusun cantik buat remaja lelaki ini apabila dia turut dinobatkan Tokoh Hafiz 2017 Kelantan.

Muhammad Hazim Zahari, 16, menerima penghargaan itu ketika Majlis Graduan Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) Kali Ke-8, semalam yang disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Menurut Muhammad Hazim, sejak kecil dia sudah bercita-cita untuk belajar di sekolah tahfiz dan ibu bapanya menyokong hasrat murni itu sebelum dia dihantar ke Maahd Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong, Machang.

Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, sepanjang empat tahun di maahad itu, dia sentiasa konsisten dalam pengajian agamanya dan memperuntukkan lima jam sehari untuk menghafal al-Quran.

“Saya mahu membanggakan ibu bapa saya dan ikut jejak langkah abang serta kakak yang cemerlang dalam bidang agama, selain akademik.

“Pada masa sama, saya juga aktif menyertai Musabaqah al-Quran Kategori 20 Juzuk dan pernah meraih tempat pertama dalam Kuiz Matematik Sains Peringkat Akhir, tahun lalu,” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Muhammad Hazim turut diumumkan Hafiz Terbaik Keseluruhan Tingkatan Tiga Ke Bawah dan Hafiz Terbaik Sekolah yang melayakkan dia membawa pulang wang tunai RM1,000, pakej umrah, komputer riba dan sijil penghargaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 4:12 AM