ASRI menunjukkan keadaan benteng pasir bersebelahan dengan rumahnya. FOTO Azahar Hashim
ASRI menunjukkan keadaan benteng pasir bersebelahan dengan rumahnya. FOTO Azahar Hashim
Azahar Hashim


HUJAN lebat hampir dua jam petang semalam menyebabkan kira-kira 20 rumah di Kampung Padang Tembak dan Taman Tunku Putra dilanda banjir kilat.

Dalam kejadian 6.30 petang semalam, hujan lebat yang melanda daerah ini menyebabkan Sungai Wang Pinang melimpah menyebabkan rumah di kawasan rendah serta berhampiran sungai digenangi air manakala di kawasan Taman Tunku Putra, air bah sehingga ke jalan raya.

Seorang penduduk, Asri Mohd Noor,37, berkata, banjir kilat berlaku begitu pantas berikutan benteng tebing sungai berhampiran rumahnya pecah akibat arus deras.

Katanya, pada mulanya dia tidak nampak benteng sungai itu pecah kerana paras air naik melepasinya dan memasuki halaman rumahnya.

"Ketika kejadian saya berada di dalam rumah sedang berehat serta memantau keadaan paras air sungai berikutan hujan sangat lebat.

"Biasanya, jika hujan lebat lebih sejam kawasan ini akan dinaiki air dan pada 6.30 petang saya lihat air sungai mulai melimpah hingga ke halaman rumah.

"Namun beberapa minit kemudian paras air sungai semakin meningkat dengan cepat serta arusnya juga deras sehingga masuk ke dalam rumah paras lutut.

"Dan ketika meninjau sungai bersebelahan rumah baru saya sedar bentingnya pecah sepanjang kira-kira lebih 2 meter panjang," katanya ketika ditemui hari ini.

Asri berkata, kejadian banjir kilat itu adalah yang pertama tahun ini dan sebelum ini kawasan itu sudah beberapa kali dilanda banjir kilat, tahun lalu.

Katanya, dia membina sendiri benteng di tepi sungai itu dengan meletak lebih 1,000 guni diisi pasir sepanjang kira-kira hampir 60 meter bagi mengelakkan limpahan air sungai.

"Saya meletak guni pasi sebagai benteng untuk mengelakkan air sungai melimpah sejak lebih tiga tahun lalu dan walaupun ada benteng, jika hujan lebat terlalu lama air sungai tetap melimpah namun tidak sampai masuk ke dalam rumah," katanya.

Jirannya, Zulkifli Md Isa,38, berkata, air naik dalam beberapa minit sahaja dan surut dengan cepat.

Katanya, rumahnya di bahagian dapur dimasuki air sehingga paras lutut dan mujur pakaian di dalam almari di gantung jika tidak habis basah terkena air lumpur.

"Kejadian banjir di kawasan ini adalah berpunca daripada air Sungai Wang Pinang yang melimpah dan keadaan bertambah teruk jika sampah tersangkut pada titi yang ada di kawasan ini.

"Penduduk bukan ingin menyalahkan mana-mana pihak cuma berharap pihak yang berkaitan dapat membantu menyelesaikan isu ini seperti melakukan kerja pembersihan sungai secara berkala.

"Disamping itu penduduk juga berharap pihak berkenaan terutama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dapat melakukan kerja pembersihan sampah seperti batang kelapa sawit serta sisa dahan pokok di dalam sungai supaya tidak menyekat aliran air.

"Kami berharap sungai terbabit dikorek semula kerana semakin cetek selain titi sedia ada dinaik taraf," katanya.

Zulkifli berkata, penduduk turut berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kulim,Chua Teong Gee serta ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang meninjau keadaan banjir di kawasan ini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 4:12 PM