FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Siti A'isyah Sukaimi


YAYASAN Kebajikan Negara (YKN) mewujudkan tabung pendidikan untuk kumpulan sasar seperti anak yatim dan gelandangan bagi melanjutkan pengajian, sekaligus membantu menjamin masa depan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, untuk permulaan, seramai 10 peserta terdiri daripada lima gelandangan di ibu negara serta lima anak yatim di Sarawak akan terbabit dalam projek rintis berkenaan bermula Mac.

"Inisiatif ini dapat membantu mereka terutama yang mahu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam atau swasta, kolej serta asrama penuh.

"Mungkin ada yang memperoleh keputusan baik dan cemerlang, namun tidak mempunyai dana mencukupi jadi, kami membantu mereka menerusi tabung pendidikan ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah 'Friends of YKN 2017' di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kumpulan sasar lain yang terbabit dalam inisiatif berkenaan antaranya anak gelandangan tercicir dalam pendidikan, orang miskin atau mereka daripada keluarga terbiar dan bermasalah.

Selain itu, katanya, satu daripada program bantuan pendidikan itu juga ialah membiayai anak gelandangan yang beragama Islam ke pusat tahfiz berdaftar.

Pada masa sama, Rohani berkata, YKN akan memperluaskan skop perkhidmatan sosial dengan melaksanakan inisiatif baru membantu anak yatim di bawah institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terpaksa keluar apabila mencapai usia 18 tahun ke atas.

"Mengikut akta, mereka berusia 18 tahun ke bawah saja dibenarkan untuk diletakkan di bawah jagaan JKM.

"Justeru, mereka ini akan terus dibantu dari segi pendidikan, kebajikan dan kerjaya masa depan manakala, projek rintis pertama akan dilaksanakan di Anjung Singgah Kuching, Sarawak pada tahun ini," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan empat Anugerah 'Friends of YKN 2017' kepada lima penerima membabitkan Anugerah Korporat kepada wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Anugerah Institut Pengajian Tinggi kepada wakil Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Seterusnya, Anugerah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) kepada Pertiwi Soup Kitchen dan Kechara Soup Kitchen Society serta Anugerah Khas kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2018 @ 8:41 PM