MAKANAN diagihkan kepada gelandangan.
MAKANAN diagihkan kepada gelandangan.

Perasaan paling menggembirakan apabila dapat membantu golongan memerlukan tanpa mengira usia dan bangsa. Begitulah yang dirasai 30 sukarelawan daripada Hotel Grand BlueWave Shah Alam (GBWHSA) bersama-sama Pertiwi Soup Kitchen menghidangkan makanan serta menyampaikan barang keperluan kepada golongan gelandangan bertempat di Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

Hampir 500 bungkus makanan dibawakan GBWHSA, selain barang keperluan yang sudah dikumpul lebih awal oleh pekerja GBWHSA dalam kempen dalaman yang diadakan lebih awal bagi menyokong inisiatif ini.

Seramai 15 sukarelawan terdiri daripada pekerja hotel GBWHSA manakala selebihnya peserta Green Ride 2016. Program ini sebahagiannya dibiayai wang sumbangan oleh Riders Green.

“Kami menjemput Riders Green untuk mengambil bahagian dalam program ini sebagai sokongan sepenuhnya kepada program komuniti ini. Kami juga menggalakkan ikatan dengan Riders Green supaya sentiasa mendapat sokongan secara berterusan. Ia bukan hanya urusan sekali saja,” kata Pengurus GBWHSA Hotel, Mohd Ghazali Sayed Ibrahim.

Menurut Pengasas Soup Kitchen Munirah Hamid, dia ingin menucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang memberikan soko­ngan. Diharap program sebegini akan dapat dijalankan pada masa akan datang.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih Hotel Grand BlueWavel Shah Alam dan sukarelawan atas sumbangan mereka terhadap usaha kami dalam memberikan bantuan kepada warganegara malang. Kami juga mengalu-alukan orang lain yang ingin menjadi sukarelawan atau memberikan sumbangan,” katanya.

Untuk makluman Pertiwi Soup Kitchen mengedarkan makanan kepada golongan gelandangan dan menyediakan perkhidmatan lain yang diperlukan seperti perubatan dan khidmat memotong rambut pada setiap Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad malam. Orang ramai boleh menyertai salah satu atau semua sekiranya berminat. Tidak perlu mendaftar melainkan jika datang dalam kumpulan yang besar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 7:32 AM