Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI ditahan polis bersama 3,900 pil eramin 5 di satu rumah di Taman Ibni Hasim, di Petra Jaya.

Polis menahan suspek berusia 31 tahun itu yang dikatakan mengamuk di rumah berkenaan, pada kira-kira 5 petang semalam.

Ketua Polis Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata pada mulanya polis menerima maklumat mengenai kejadian amuk.

Oleh itu, katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bergegas ke lokasi.

Difahamkan, suspek berada di dalam pengaruh dadah sehingga mengamuk sehingga menyebabkan keluarganya bimbang dia akan bertindak di luar kawalan.

Menurutnya, selepas dipujuk, suspek akhirnya menyerah diri kepada polis tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, polis kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas Proton Persona milik suspek dan menemui sejumlah pil khayal.

“Pemeriksaan lanjut menemui 3,900 pil eramin 5 di dalam beg yang disorokkan tempat duduk penumpang belakang kereta berkenaan.

“Suspek dipercayai menjadi pengedar pil khayal kecil-kecilan kerana bahan terlarang ditemui dalam kuantiti yang banyak,” katanya di Kuching, hari ini.

Beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abang Ahmad berkata, polis juga kini giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana suspek memperoleh bekalan dadah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 11:14 PM