Nusajaya: Sebanyak 11 syarikat Bumiputera dianugerahkan kontrak bernilai RM227.6 juta daripada PETRONAS untuk menyempurnakan kerja pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) di Kota Tinggi.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejayaan pemerolehan kontrak itu susulan penubuhan Jawatankuasa Penyertaan Syarikat Bumiputera untuk projek mega PIPC.

Setakat ini, dua syarikat kontraktor utama di Johor dianugerahkan kontrak bernilai RM72.6 juta bagi menjalankan kerja infrastruktur di PIPC.

“PETRONAS juga melantik sembilan syarikat Bumiputera termasuk satu syarikat dari Johor bagi Projek Pembekalan Air Mentah (PAMER) untuk Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dengan nilai kontrak berjumlah RM155 juta.

“Ini menunjukkan bahawa inisiatif menubuhkan jawatankuasa ini dapat memberi manfaat kepada syarikat tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Bersama Kontraktor PIPC di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad, Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation (JPDC) Mohd Yazid Ja’afar dan Timbalan Pengarah Kanan Projek RAPID Wan Yusoff Wan Hamat.

Mohamed Khaled berkata, jawatankuasa berkenaan dipengerusikan oleh Hasni dan berfungsi untuk memastikan wujudnya pengagihan kontrak kerja berkaitan pembangunan PIPC kepada syarikat Bumiputera yang layak dan berkemampuan khususnya dari negeri ini.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan menyasarkan syarikat Bumiputera yang berdaftar dan sekurang-kurangnya mempunyai pusat operasi di Johor.

Jawatankuasa itu menjadi pemudah cara dan padanan perniagaan antara pelabur di PIPC dengan syarikat kontraktor serta pembekal perkhidmatan berwibawa.

“Lebih penting jawatankuasa ini menjadi sumber saluran maklumat niaga terkini dan rujukan kontraktor tempatan. Saya yakin kebolehan dan kepakaran yang ada pada syarikat Bumiputera ini, mereka mampu bersaing, sekali gus membuktikan mereka boleh menjadi setanding syarikat bertaraf antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 November 2014 @ 5:05 AM